Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JOM WUJUDKAN GERAKAN BOIKOT PRODUK PERANCIS – ISMAWEB – 27/10/2020
27 Oct 2020

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa diwujudkan gerakan boikot produk dan perkhidmatan jenama Perancis – susulan kenyataan Presiden, Emmanuel Macron yang sengaja mencetuskan Islamophobia.

Umat Islam di Perancis hidup dalam ketakutan berikutan kenyataan yang berbaur polisi pemisahan Macron baru-baru ini.

PPIM berkata, polisi berkenaan telah menyebabkan salah anggap yang mencetuskan sikap kebencian dan antimuslim serta gesaan untuk membakar masjid-masjid di seluruh Perancis.

“Sejak Presiden Macron mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2017, umat Islam telah mula merasa terancam dengan polisi-polisi anti-Islam yang dilancarkan secara halus dan secara terang-terangan.

“Malah, kenyataan beliau juga telah menimbulkan rasa resah di kalangan masyarakat Islam di sana,” kata persatuan itu dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, PPIM memaklumkan sedang meneliti insiden itu secara dekat dan menimbang untuk menganjurkan satu perhimpunan besar berikutan perkembangan ini dengan menghantar satu memorandum bantahan di kedutaan Perancis.

“Kami juga menggesa pihak kerajaan dan lain-lain pihak berkaitan menggantung semua urusan dengan konglomerat Perancis seperti Atos, Alstom, AXA, Total dan lain-lain.

“Boikot ini akan berkuat kuasa serta merta dan kami menyeru pengguna Islam seluruh Malaysia dan jaringan global kami untuk menggerakkan usaha yang sama sehingga kerajaan Perancis memberikan jaminan keselamatan dan keamanan supaya umat Islam Perancis boleh mengamalkan Islam di negara itu,” katanya.

Gesaan memboikot barangan buatan Perancis semakin memuncak di dunia Arab dan tempat lain selepas Macron mengkritik umat Islam serta berikrar mempertahankan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ.

Macron membuat kenyataan itu, Rabu lalu, sebagai mengulas insiden kepala seorang guru, Samuel Paty, dipenggal di luar sekolahnya yang terletak di pinggir kota luar Paris pada awal bulan ini.

Kejadian berlaku selepas mendiang Paty menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara.

Artikel oleh: Ismaweb

JOM WUJUDKAN GERAKAN BOIKOT PRODUK PERANCIS

https://ismaweb.net/2020/10/27/1jom-wujudkan-gerakan-boikot-produk-perancis/