Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, keadaan itu semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melindungi hak pengguna serta membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Katanya, menerusi portal jualan dalam talian, pihak tidak bertanggungjawab itu sewenang-wenangnya boleh mempamerkan iklan sesuatu produk atau barangan tanpa perlu menyertakan bersama nombor pendaftaran syarikat atau sebagainya.

“Pengendali portal itu sepatutnya meminta invidividu atau syarikat mengemukakan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melindungi hak pengguna.

“Sekarang ini, dengan hanya mendaftar satu akaun e-mel baharu, sesiapa sahaja boleh menjual produk atas talian dan ini menggalakkan penipuan. SKMM boleh membuat satu kaedah penjual berdaftar menggunakan kad pengenalan atau sijil SSM. Mesti ada kaedah, bukan susah pun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Penjual Kereta Kuala Lumpur dan Selangor, Khoo Kah Jin; Timbalannya, Dave Lim Keat Hin dan Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusof Azmi.

Dalam pada itu, Kah Jin memaklumkan, kes penipuan membabitkan jualan kereta terpakai dan sambung bayar hutang kenderaan turut mencatat peningkatan setiap tahun.

“Kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pihak tidak bertanggungjawab kerana tiada pemantauan dan garis panduan yang ditetapkan mengakibatkan ramai pembeli ditipu.

“Satu lagi adalah kes sambung bayar yang mana sebenarnya tidak sah mengikut undang-undang. Ramai pengguna tidak tahu dan tertipu bila tengok harga murah yang ditawarkan dan selalu mereka bayar deposit tanpa tengok kereta yang hendak dibeli,” ujarnya.

Kata Kah Jin, kebanyakan kes penipuan di portal jualan dalam talian menyaksikan transaksi dibuat di luar dan bukannya di kedai.

“Ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menghasilkan iklan menggunakan gambar dari syarikat lain, kemudiannya mengambil deposit daripada pembeli.

“Mereka menggunakan pelbagai taktik dan bayangkan jika seorang ditipu sekurang-kurangnya RM5,000 setiap transaksi, berapa banyak wang yang telah diterima oleh pihak tidak bertanggungjawab itu,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE