Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JUDI ATAS TALIAN AKAN DIKENAKAN CUKAI – MALAKAT TRIBUNE – 02/07/2020
03 Jul 2020

RAUDHAH CITY – Kerajaan bercadang untuk mengenakan cukai terhadap laman judi dalam talian sebagai usaha untuk mengekang rakyat Malaysia daripada mengakses laman web tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ia menjadi salah satu punca banyak berlakunya masalah sosial dalam masyarakat.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan melantik syarikat swasta bagi mengambil peranan dengan meninjau dan mengambil tindakan terhadap laman web berkenaan.

“Bagi judi dalam talian dan kegiatan along haram, bila kita padam satu laman web, esok naik laman web yang lain.

“Sebab itu kita sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melantik syarikat swasta bagi memantau kegiatan ini bagi pihak kerajaan supaya mereka tidak dapat lari daripada cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan memorandum aduan pengguna perkhidmatan telekomunikasi dan jenayah siber oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di pusat beli belah, Malakat Mall di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Menurut Zahidi, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya mendapati jumlah perbelanjaan rakyat Malaysia dalam judi atas talian melebihi RM300 juta sebulan.

Sementara itu, Zahidi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 30 Jun lalu, pihaknya menerima peningkatan lebih 90 peratus aduan berkaitan keselamatan komputer berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, aduan tersebut dilaporkan menerusi Pusat Bantuan Cyber999.

“Sebenarnya pelbagai jenis aduan yang telah datang kepada kami dengan corak modus operandi yang pelbagai ini termasuk pakej promosi telko oleh ejen-ejen yang tidak telus.

“Terdapat pakej yang menjanjikan pelbagai kemudahan percuma tetapi dalam beberapa bulan bil melambung sehingga mencecah RM5,000 dan kebanyakan mangsa adalah pelajar,” ujarnya.-MT

Artikel oleh: Malakat Tribune

JUDI ATAS TALIAN AKAN DIKENAKAN CUKAI 

https://www.malakattribunenews.com/2020/07/judi-atas-talian-akan-dikenakan-cukai/