Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KAJI SEMULA PROGRAM PICK, DATA PANDEMIK COVID-19 – PPIM – MALAYSIA GAZETTE – 21/09/2021
21 Sep 2021

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang berkaitan termasuk ahli-ahli Parlimen diminta supaya mengkaji dengan lebih mendalam berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan data-data terbaharu berkaitan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, lebih 93 peratus rakyat Malaysia sudah disuntik dos pertama vaksin tersebut manakala, 78 peratus telah menerima lengkap dos kedua namun gejala penyakit itu masih berleluasa.

Katanya, ramai dalam kalangan rakyat telah kehilangan ahli keluarga dan ramai juga di antara mereka hidup dalam pelbagai bentuk kesusahan.

“Kematian demi kematian disebabkan jangkitan Covid-19, termasuk kematian mengejut tidak lama selepas vaksinasi, dibuang kerja kerana risau akan risiko menerima vaksin dan pelbagai isu lain. 

“Kerajaan telah berulang kali menyatakan bahawa vaksin tidak akan diwajibkan, tetapi situasi hari ini secara tidak langsung menunjukkan seolah kerajaan melalui agensi-agensi nya mahupun swasta, menampakkan kepada rakyat seperti cubaan untuk mewajibkan penerimaan vaksin yang masih diragui ramai ini.

“Pihak kerajaan mesti berpegang kepada kenyataan asal, yang dinyatakan oleh Parlimen tentang kebebasan memilih. Pihak kerajaan mesti melindungi dan menghormati mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin ini sebagai satu-satunya langkah pencegahan,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Toqqi.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Isu Paksaan dan Keselamatan Vaksin Buatan Baharu Covid-19 secara virtual hari ini.

Nadzim berkata, wakil rakyat merupakan golongan yang lebih proaktif untuk membantu rakyat selepas dipilih untuk mewakili suara mereka di Parlimen.

Disebabkan itu katanya, adalah wajar untuk ahli-ahli Parlimen mengetengahkan perkara berkenaan demi mendapatkan keadilan kepada rakyat secara keseluruhan.

Ujarnya, mereka juga perlu mencari pendapat kedua daripada pakar-pakar lain yang ingin bersuara melawan arus perdana.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

KAJI SEMULA PROGRAM PICK, DATA PANDEMIK COVID-19 – PPIM

https://malaysiagazette.com/2021/09/21/kaji-semula-program-pick-data-pandemik-covid-19-ppim/