Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KARNIVAL MYJERAM 27 SEPTEMBER INI – UTUSAN MALAYSIA – 10/09/2019
10 Sep 2019

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram mengambil inisiatif menganjurjan Karnival MyJeram 2019.

Karnival yang disifatkan sebagai terbesar di Selangor itu bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September ini di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram, Bandar Puncak Alam, Selangor.

Karnival berkenaan juga dianjurkan secara bersama oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan akan dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Shaid Rosli berkata, objektif penganjuran program berkenaan ialah untuk merapatkan hubungan penduduk pelbagai agama dan kaum di sekitar kawasan jeram.

“Selain itu, program ini juga bertujuan menyemai nilai-nilai harmoni bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Menerusi program ini, keharmonian dan perpaduan baik di DUN Jeram, Selangor mahupun seluruh negara akan bertambah kukuh, selain jurang antara masyarakat dirapatkan supaya dapat hidup dengan aman dan selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai program dan acara telah dirangka dalam program selama tiga hari itu dengan antaranya ialah wacana intelek, bicara usahawan bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan pesta buku.

Acara sukan turut diadakan termasuklah ‘wall climbing’, Sawit Ride Cycling, seni pertahankan diri, Zumba Perdana, pertandingan seni silat dan silat olahraga kebangsaan.

Program untuk kanak-kanak turut diadakan seperti ‘petting zoo’, taman riang ria kanak-kanak, pertandingan mewarna, pertunjukkan Upin Ipin dan pertandingan Beyblade.

Pelbagai hadiah serta cabutan bertuah termasuklah motosikal menanti pengunjung yang hadir karnival berkenaan.

Selain itu, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut menyertai karnival tersebut seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya yang menawarkan perkhidmatan kepada penduduk di Jeram.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di talian 03-3396 0036. – UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia

KARNIVAL MYJERAM 27 SEPTEMBER INI

https://www.utusan.com.my/mega/rekreasi/karnival-myjeram-27-september-ini-1.968302