Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KARTEL DAGING AJAK BINCANG ISU, PPIM ENGGAN LAYAN – HARIAN METRO – 31/12/2020
31 Dec 2020

Kuala Lumpur: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mendedahkan, rangkaian kartel daging ada menghubungi pihaknya untuk berbincang mengenai isu berkenaan.

Ia dipercayai ada kaitan dengan isu terbabit yang semakin panas susulan pendedahan mengenai kegiatan itu baru-baru ini.

Nadzim berkata, bagaimanapun, dia tidak melayani permintaan mereka untuk berjumpa kerana tidak mahu terbabit dalam isu itu.

Menurutnya, PPIM mencadangkan agar satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyalurkan maklumat kepada kerajaan mengenai perkara ini.

“Pasukan khas ini akan memberikan maklumat dan pada masa sama mencari kaedah bagi mengelak perkara sama berlaku.

“Kita jemput semua pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama dalam pasukan ini untuk mencari jalan penyelesaian menerusi maklumat yang ada kerana sesuatu perlu dilakukan segera,” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama Aktivis PPIM Sheikh Abdul Karim Said Khadaied.

Nadzim turut mendedahkan bahawa ada kartel sengaja memainkan isu bahawa Malaysia tidak sesuai menjadi hub penternakan lembu.

Katanya, berdasarkan semakan, dakwaan itu datang daripada rangkaian kartel yang turut terbabit dalam isu yang dibangkitkan kebelakangan ini.

Selain itu, beliau juga mendedahkan maklumat diterima pihaknya mengenai kewujudan daging kangaru menggunakan status halal sejak 1981 lagi di negara ini.

Katanya, perkara berbangkit mengenai halal perlu diselesaikan pihak berwajib kerana ia membabitkan imej negara sebagai peneraju pensijilan halal.

“Saya dihubungi menerusi nota dari rakan luar negara bertanyakan isu ini. Dulu Cadbury dan kini daging pula.

“Imej kita terjejas. Kita semua perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Pada sidang media itu Nadzim turut mengulangi cadangan pihaknya supaya Akta Halal diwujudkan bagi menyelesaikan semua isu berkaitan halal di negara ini.

Katanya, perkara itu pernah dibincangkan sekitar tahun 2000, namun tiada perubahan sehingga hari ini.

Artikel oleh: Harian Metro

KARTEL DAGING AJAK BINCANG ISU, PPIM ENGGAN LAYAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/658777/kartel-daging-ajak-bincang-isu-ppim-enggan-layan