Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KARTEL DAGING: BURU DALANG HINGGA KE LUBANG CACING, JANGAN BIAR TERLEPAS – ISMAWEB – 15/12/2020
15 Dec 2020

BANGI, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak dalang sindiket kartel daging import yang menggunakan sijil halal palsu segera dibawa ke muka pengadilan.

PPIM dalam satu kenyataan hari ini berasa terkejut dengan penemuan daging yang telah ‘dihalalkan’ di sebuah gudang di Senai, Johor baru-baru ini.

Situasi itu juga disifatkan sebagai menyedihkan kerana kerajaan sedang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal terulung dunia dan penjana ekonomi negara yang utama.

“Menyedihkan apabila pengkhianat-pengkhianat ini masih bermaharajalela dan memburukkan lagi keadaan sosial dan kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

“Lebih mengejutkan lagi ialah bagaimana tiada satu pun agensi kerajaan yang dapat mengesan aktiviti ini walaupun ia merupakan satu operasi yang besar,” kata PPIM.

Sehubungan itu, PPIM mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperketatkan lagi penggunaan logo Halal Malaysia dan juga proses pengiktirafan, verifikasi dan semua berkaitan dengan soal-soal pengimportan daging.

Pada masa sama, PPIM juga menyeru semua agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar agar lebih berhati-hati dan proaktif agar perkara ini tidak berulang lagi.

“PPIM juga mendesak agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turun ke padang dan mengesan apa jua bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di setiap titik kritikal logistik, pentadbiran dan pengurusan pengimportan daging luar ini.

“Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan dan carilah mereka sehingga ke lubang cacing sekali pun,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan dilakukan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Sebelum inin, JKDM Johor telah menahan pengarah syarikat pembekal makanan sejuk beku itu.

Pegawai Kastam Kanan (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, Khalik Drahman berkata, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan ketika pemeriksaan.

Artikel oleh: Ismaweb

KARTEL DAGING: BURU DALANG HINGGA KE LUBANG CACING, JANGAN BIAR TERLEPAS

https://ismaweb.net/2020/12/15/kartel-daging-buru-dalang-hingga-ke-lubang-cacing-jangan-biar-terlepas/