Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ: VIDEO TIDAK DISUNTING – BERITA HARIAN – 07/08/2019
07 Aug 2019

KUALA LUMPUR: Rakaman pergerakan individu yang mempunyai kaitan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah sehingga menyebabkan 23 penghuninya terbunuh, dua tahun lalu tidak pernah disunting oleh pihak berkuasa.

Rakaman yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat itu dimuat turun ke pemacu pena (pendrive), oleh Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang, Asisten Superintendan (ASP) Saiful Azhar Rahim.

Saiful Azhar, 46, yang juga saksi ke-67 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau tidak membuat sebarang penyuntingan pada rakaman yang

dirakam pada 14 September 2017.

“Rakaman yang bermula pada jam 12.25 pagi hingga 7 pagi itu disimpan dalam pemacu pena berkenaan.

“Kemudian, saya menyerahkan ‘pendrive’ itu kepada ASP Rico Tay (Penolong Penguasa Polis Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur , ASP Tay Chew Thwa @ Rico Tay) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata dekoder dan wayar kabel yang dirampas diserahkan kepada Inspektor Fairol untuk tindakan lanjut.

Saiful Azhar yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Risikan dan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Wangsa Maju berkata, pasukannya pergi ke rumah di Kampung Datuk Keramat dan merampas dekoder berkenaan berserta satu kabel pada 17 September 2017 untuk siasatan lanjut.

Pada April lalu, ASP Rico Tay memberitahu mahkamah imej sekumpulan individu bermotosikal berada di sekitar pusat tahfiz itu sebelum kebakaran berlaku dirakam melalui rakaman CCTV yang terdapat pada bangunan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan pusat tahfiz itu.

Kedua-dua remaja itu didakwa atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam bela Haijan Omar mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada 24 hingga 26 September depan.

Artikel oleh: Berita Harian

KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ: VIDEO TIDAK DISUNTING

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/08/593759/kebakaran-pusat-tahfiz-video-tidak-disunting