Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEMPEN BMF TETAP TIDAK TERJEJAS DI PERAK – SINAR HARIAN – 29/10/2019
29 Oct 2019

PERAK dengan penuh ketegasan menyatakan pendirian untuk tidak membenarkan kempen Beli Produk Muslim Dahulu (BMF) dilaksanakan di masjid-masjid di negeri itu.

Seperti yang dinyatakan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi, keputusan dibuat selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) minggu lalu.

Kerajaan Perak berpendapat, penganjuran BMF yang giat digerakkan di seluruh negara kini hanyalah ‘jalan’ bagi pihak-pihak tertentu menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencapai kepentingan politik.

Ini ditegaskan Asmuni menerusi laporan dan siasatan yang dijalankan mendapati individu yang terlibat dalam pelancaran kempen tersebut merupakan pimpinan bagi parti politik tertentu.

Beliau turut menyatakan dalam konteks masjid dan surau, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan parti politik atau pihak lain yang didalangi politik kepartian sama sekali dilarang seperti mana dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selaras ketetapan itu, semua kempen BMF yang telah dijadualkan diadakan di masjid-masjid di negeri itu dibatalkan dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah untuk mengambil tindakan tegas terhadap jawatankuasa masjid yang ingkar.

Pendirian dibuat kerajaan Perak itu turut mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof yang menyifatkan masjid perlu menjadi sebuah institusi yang bebas daripada sebarang aktiviti dan pengaruh politik.

Pentadbiran Perak yang kini di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya mahu keutamaan dalam mempromosikan kempen-kempen membeli diberikan kepada barangan halal dan buatan Malaysia terlebih dahulu, selari dengan polisi kerajaan yang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu program pada September lalu juga pernah menyatakan bahawa komitmen kerajaan Perak adalah menerusi ‘Buy Malaysian First’.

Beliau dipetik berkata, Kerajaan Perak menyokong usaha mendahulukan produk halal atau Muslim namun menegaskan agar tidak memboikot produk perusahaan bangsa atau agama lain.

Penegasan dibuat kerajaan Perak ini telah menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan pendokong kempen BMF dan umat Islam secara keseluruhannya.

Ada yang menyatakan kecewa tidak kurang juga keliru apabila penglibatan Jabatan Mufti Perak dalam membantu kempen berkenaan dipertikai.

Bagi mereka, peranan Jabatan Mufti dan jawatankuasa majlis adalah satu kewajipan untuk menggalakkan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam yang sama sekali tidak melanggar hukum syarak.

Seperti terkandung dalam Seksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004: Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalak, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Negeri Perak Darul Ridzuan selaras dengan Hukum Syarak.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menerusi satu kenyataan pada 10 September lalu ada menyebut, kempen BMF yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini merupakan implementasi daripada konsep taawun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam.

Beliau dengan tegas menyatakan, Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi dengan mengeluarkan dan membekalkan produk buatan sendiri tanpa menafikan hak dan penglibatan orang bukan Islam dalam berjual beli dengan syarat mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk.

Di sebalik situasi yang berlaku ini, kempen BMF tidak sedikit pun terganggu malah ada pihak yang terus positif untuk lebih menggandakan usaha dan sokongan mereka terhadap perjalanan kempen terbabit.

Gerakan Pembela Ummah Perak (Ummah) satu daripadanya yang menanam tekad untuk menggerakkan seramai mungkin usahawan Muslim untuk menjayakan kempen BMF.

Begitu juga bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menyifatkan larangan kempen BMF dalam kawasan masjid itu bukan sahaja tidak menjejaskan kempen, sebaliknya membantu mempromosikan lagi BMF.

Memetik kata Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, perkembangan yang berlaku di negeri itu tidak akan menjejaskan kempen BMF kecuali pihak terbabit melarang rakyat untuk membeli produk keluaran Muslim dan PPIM bersedia meneruskan kempen BMF sebagai satu agenda membantu rakyat.

Artikel oleh: Sinar Harian

KEMPEN BMF TETAP TIDAK TERJEJAS DI PERAK

https://www.sinarharian.com.my/article/54460/Analisis-Sinar/Kempen-BMF-tetap-tidak-terjejas-di-Perak