Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘KENAPA DENGAN ANAK SAYA’ – HARIAN METRO – 21/10/2019
22 Oct 2019

“SAYA harap ada pakar dapat membantu memberikan pencerahan apa yang sedang berlaku kepada anak saya. Setakat ini ada banyak pandangan, namun saya bimbang memberikan rawatan yang salah kepadanya.

“Secara tiba-tiba dia jadi lemah dan muntah-muntah. Selepas dirujuk ke hospital, doktor mengesahkan dia menghidap diabetes jenis 1, saya langsung tak pernah tahu mengenai penyakit itu, tapi ia merubah rutin kehidupan kami sekeluarga sejak lebih sebulan lalu,” kata Mohd Nazri Yusof.

Ahli perniagaan berusia 43 tahun itu masih terkejut dengan kejadian menimpa anaknya Mohamad Daniel Arasy, 8 tahun yang mempunyai bacaan gula 32 biarpun kelihatan normal.

Katanya, semuanya berubah selepas anaknya itu lemah di rumah sebelum dirujuk ke Hospital Shah Alam pertengahan September lalu.

Sejak itu, dia dan isteri, Siti Rafeah Hassan, 44, perlu memastikan agar anak mereka diberi suntikan insulin empat kali sehari walaupun ketika sedang bersekolah.

“Dia nampak normal, cuma kadang-kadang mengadu kaki menggeletar dan mata tak nampak. Setakat ini kami memastikan dia menerima suntikan itu sebelah pagi, tengah hari, petang dan malam sebelum makan.

“Apa yang kami bimbang ialah bagaimana dia akan membiasakan diri dengan keadaan barunya itu. Maklumlah, dia masih bersekolah, setiap hari dia perlu suntik insulin. Jadi kami harap ada pihak yang sudi memberikan pandangan mengenai langkah terbaik yang perlu kami buat,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mohd Nazri berkata, dia juga mengambil inisiatif berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai pengalaman menguruskan pesakit diabetes jenis 1 untuk mendapatkan nasihat memandangkan keadaan ini terlalu baru buat dirinya.

“Memang saya juga ada baca artikel di internet, tapi saya tidak begitu yakin. Selain doktor, saya perlukan juga pendapat kedua. Jadi mohon bantulah saya kerana mahukan yang terbaik untuk Arasy,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

‘KENAPA DENGAN ANAK SAYA’

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/509396/kenapa-dengan-anak-saya