Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KERAJAAN DIMINTA KAJI SEMULA HUKUMAN PENJARA – BERITA HARIAN – 06/10/2019
08 Oct 2019

Kuala Lumpur: Kesalahan pemilik akaun hanyalah kecuaian menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mereka kepada pihak lain tetapi dihukum seolaholah mereka adalah sindiket.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sehubungan itu mencadangkan agar pesalah atas kesalahan itu dikenakan hukuman Perintah Kehadiran Wajib atau Perintah Khidmat Masyarakat yang lebih perikemanusiaan.

Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar, berkata hukuman berkenaan adalah wajar sekiranya siasatan menjurus kepada punca kecuaian berlaku.

“Ini kerana negara akan kerugian aset dan bertambahnya kos yang perlu ditampung dalam penjara. Adalah lebih baik mereka menjalani perintah khidmat masyarakat yang diselia parol kerana tiada rekod jenayah yang akan mencalar masa depan mereka,” katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan kecuaian pemegang kad ATM antara punca pemilik akaun dijadikan keldai akaun selepas kad mereka digunakan sindiket untuk jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, dilaporkan berkata ada pemilik akaun kehilangan kad ATM tetapi tidak melaporkan kehilangannya kepada pihak bank menyebabkan akaun masih aktif.

Mazlina berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu menguatkuasakan undangundang terhadap mereka yang memiliki akaun bank secara berlebihan.

“Bagaimana seseorang boleh memiliki lebih 12 akaun? Bank pula perlu memainkan peranan mengingatkan pelanggan untuk tidak serahkan maklumat bank kepada pihak lain.

“Begitu juga syarikat telekomunikasi, masih ada sim kad prabayar yang tidak berdaftar dibenarkan penjualannya sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjenayah sebenar,” katanya.

Beliau berkata, PPIM menerima 44 kes keldai akaun sejak Januari tahun ini dan sebahagian besar kes menunjukkan bukti mereka meminjam wang daripada along serta menyerahkan kad ATM mereka sebagai cagaran.

“Along inilah yang terbabit dalam sindiket Macau, panggilan penyamaran dan lainlain modus operandi untuk menipu orang ramai dengan menggunakan nombor akaun keldai akaun.

“Ramai keldai akaun yang menjadi mangsa. Contohnya, tidak logik banduan dalam penjara boleh keluarkan ratusan ribu ringgit daripada ATM. Kenapa tidak siasat siapa yang mengeluarkan wang berkenaan?” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menafikan ada segelintir bersubahat dengan sindiket tetapi siasatan menyeluruh boleh mengasingkan mana yang benar atau sebaliknya.

“Contoh, kes seorang petani membuka 12 akaun bank manakala isterinya membuka sembilan akaun bank yang jelas ada unsur subahat.

“Undang-undang perlu dikaji semula kerana sudah lapuk. Kesalahan memiliki kad ATM orang lain hanya disabit kesalahan kecil, sedangkan kesalahan menyerahkan kad ATM kepada orang lain dihukum penjara.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi BH berkata, pemberi pinjam wang (PPW) berlesen tidak dibenarkan memegang kad ATM dan nombor pengenalan peribadi pelanggan mereka.

“Apa yang kita bimbang, ada PPW yang beroperasi secara haram dan meletakkan syarat itu sebagai cagaran.

“Orang ramai boleh membuat aduan ke Jabatan Peminjam Wang KPKT untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

KERAJAAN DIMINTA KAJI SEMULA HUKUMAN PENJAR