Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KERAJAAN HILANG HASIL RM1.5J SEBULAN – BERITA HARIAN – 23/12/2020
24 Dec 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan dianggarkan kehilangan hasil kira-kira RM1.5 juta sebulan akibat ketirisan fi akibat kegiatan penyeludupan bekalan daging ke negara ini oleh kartel.

Difahamkan, syarikat kartel bergiat aktif menyeludup bekalan daging melalui kapal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dari negara tidak diiktiraf sebagai pengeksport bahan makanan itu.

Sumber berkata, apabila tiba di pelabuhan, ia akan dipindahkan ke kontena untuk dibawa terus kepada pemborong seperti pasar raya dan pasar harian sebelum dibeli pengguna.

Katanya, kira-kira 300 hingga 400 kontena dikenal pasti digunakan untuk membawa masuk bekalan daging yang diragui status halalnya dari pusat penyembelihan di negara yang tidak diiktiraf setiap bulan.

Antara negara itu ialah Kanada, Brazil, Colombia, Ukraine, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.

Sedangkan negara diiktiraf pusat penyembelihannya oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ialah Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Ada agensi kerajaan yang perlu mengutip fi di pelabuhan dan apabila berlaku penyeludupan ini, kerajaan kehilangan pendapatan yang banyak.

“Bayangkan, jika kita ambil jumlah minimum 300 kontena yang masuk setiap bulan bagi setiap kilogram (kg) bayaran permit ialah sebanyak 20 sen dan jika didarab dengan 300 dan 28,000 tan (mt), kerajaan rugi sekurang-kurangnya RM1.5 juta sebulan,” katanya kepada BH, di sini.

Sumber itu berkata, ada pegawai agensi yang menerima habuan serendah RM150 hingga RM3,000 bagi melepaskan kontena daging dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf itu.

Beliau berkata, selain itu pegawai awam yang berada di lapangan dipercayai turut menerima habuan kira-kira RM150 hingga RM500 bagi melepaskan setiap kontena.

Katanya, setiap kontena mengandungi 25 tan bekalan daging, termasuk organ lain seperti ekor, hati, tulang dan dibawa ke gudang untuk dipek semula dengan dicop logo halal palsu.

Beliau berkata, selepas itu ia mula diagihkan atau dipasarkan di pasar raya dan pasar utama di negara ini sebelum dibeli pengguna.

“Selain gudang di Johor yang diserbu baru-baru ini, ada gudang di beberapa lokasi lagi di seluruh negara yang dikesan menjalankan kegiatan sama, “katanya.

Beliau berkata, dipercayai antara stok yang dieksport ke negara ini secara haram ialah dari daging kangaru, kuda, malah lembu, namun dalam kategori haiwan yang tidak berkualiti atau berpenyakit.

Katanya, ini dilakukan berikutan syarikat kartel dapat membelinya pada harga sehingga 50 peratus lebih murah berbanding daging dari pusat penyembelihan yang disahkan.

“Bayangkan pengguna khususnya umat Islam disajikan dengan bekalan daging seperti ini, ia membabitkan pegangan agama dan jangka masa panjang juga, ia dikhuatiri menyebabkan penyakit berbahaya.

“Kita turut menghargai pendedahan berani oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung permainan kartel ini perlu dipandang serius oleh kerajaan.

“Kita amat menghargai tindakan dibuat PPIM kerana peka terhadap kepentingan pengguna khususnya umat Islam dalam aspek membabitkan pemakanan halal,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

KERAJAAN HILANG HASIL RM1.5J SEBULAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/768182/kerajaan-hilang-hasil-rm15j-sebulan