Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KERAJAAN PERLU PERJELAS KEWUJUDAN LEBIH 1 JUTA TALIAN PRABAYAR MERAGUKAN – PPIM – MALAYSIA GAZETTE – 04/11/2020
04 Nov 2020

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (SKMM) digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menangani isu berkaitan talian prabayar yang meragukan.

Dalam masa yang sama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana lebih sejuta talian prabayar berdaftar yang mencurigakan wujud dalam tempoh dua tahun.

“PPIM menggesa agar pihak berkaitan memberi penjelasan sepenuhnya mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftarkan, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini dilaksanakan?

“Pihak berkuasa khususnya SKMM seharusnya boleh membuat jangkaan akan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku dalam era teknologi maklumat sekarang,” kata PPIM menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah PPIM, SKMM seharusnya mempunyai jaringan kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menangani isu-isu utama yang boleh menjejaskan kualiti hidup pengguna.

Terdahulu PPIM terkejut dengan pendedahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat bahawa sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan dalam tempoh Januari 2018 hingga Oktober 2020.

Daripada jumlah itu, dilaporkan sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah.

Kata PPIM , ini bermakna dalam tempoh lebih dua tahun rakyat Malaysia telah terdedah dengan hampir sejuta talian yang meragukan dan boleh menjadi penyebab ke atas gejala scamming yang heboh baru-baru ini

Justeru kata persatuan berkenaan, pihak berkuasa perlu menahan pelaku jenayah yang terlibat dan mengheret mereka ke muka pengadilan, termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyediakan kemudahan talian itu.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

KERAJAAN PERLU PERJELAS KEWUJUDAN LEBIH 1 JUTA TALIAN PRABAYAR MERAGUKAN – PPIM

https://malaysiagazette.com/2020/11/04/kerajaan-perlu-perjelas-kewujudan-lebih-1-juta-talian-prabayar-meragukan-ppim/