Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KERJASAMA ARAB SAUDI, MALAYSIA TERUS KUKUH – UTUSAN MALAYSIA – 2/5/19
02 May 2019

Utusan ( kerjasama arab saudi, malaysia terus kukuh ) 2.5.19

KUALA LUMPUR 1 Mei – Kerjasama bilateral antara Arab Saudi dan Malaysia dilihat berkembang baik dalam aspek diplomatik, hubungan perdagangan dan pengajian agama.

Perkara itu dikongsi oleh Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman M. Al-Herfi yang memberitahu, kerjasama itu juga turut dizahirkan melalui hubungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan akademik berlandaskan al-Quran dan Sunnah antara kedua-dua negara.“Saya berasa amat terharu atas sokongan padu oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan, golongan akademik, NGO Islam serta individu tertentu yang banyak melaksanakan penambahbaikan dalam aspek perhubungan dari semasa ke semasa.

“Sejak empat tahun lalu, semua perkara yang dilakukan adalah bagi memperkukuhkan perpaduan, kerjasama dan bertukar-tukar pendapat bagi kepentingan ummah. Dalam masa sama, kita perlu menghormati kaum lain di negara ini yang terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan empat mata dengan Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican di sini semalam.
Abdul Rahman akan bertukar ke Ibu Pejabat di Riyadh, Arab Saudi pada awal Mei ini setelah berkhidmat selama empat tahun di negara ini.
Beliau merupakan individu yang banyak memberi ruang kepada pegawai kerajaan, ahli akademik dan pihak media untuk dicalonkan bagi mengerjakan ibadah umrah dan haji atas jemputan Raja Saudi.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut berkongsi kegembiraan kerana dapat mengenali Mustapha yang banyak berjasa demi kepentingan ummah sejagat.
“Beliau berjaya membuat pelbagai perkara yang unik di negara ASEAN seperti berjaya membina lima masjid dan 10 surau dalam tempoh 20 tahun di Kemboja, pembinaan 1,566 perigi dan pelaksanaan ibadah korban. Selain itu, beliau pernah mendapat pengiktirafan besar daripada kerajaan dan pemimpin bukan Islam di sana.
“Oleh itu, saya akan membawa perkara ini ke Riyadh supaya pertimbangan sewajarnya dapat diberikan kepada beliau sebagai tokoh NGO antarabangsa,” jelasnya.
Abdul Rahman malah menambah, Mustapha berjaya membebaskan 47 rakyat negara ini dari Penjara Kemboja dengan situasi perundingan peringkat tertinggi yang jarang berlaku.
“Inilah kehebatan luar biasa beliau kerana keadaan itu sangat jarang berlaku melainkan sekiranya kita mempunyai persahabatan kukuh serta kepercayaan tinggi yang diberikan oleh kerajaan tersebut.
“Saya turut menumpang gembira dan rakyat negara ini juga seharusnya berbangga dengan pencapaian dan kejayaan beliau,” kongsinya. -UTUSAN ONLINE
Artikel oleh : Utusan Malaysia
KERJASAMA ARAB SAUDI, MALAYSIA TERUS KUKUH