Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KERJASAMA SEMUA PIHAK BANTERAS MACAU SCAM – HARIAN METRO – 10/10/2020
12 Oct 2020

Cyberjaya: Semua pihak perlu bekerjasama mengatasi kegiatan sindiket Macau Scam serta judi dalam talian yang semakin berleluasa di Malaysia ketika ini.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, aktiviti ini bukan perkara baharu di negara ini, malah sudah berleluasa lebih 10 tahun membabitkan scam Nigeria, Black Money dan China.

Menurutnya, jumlah kerugian dialami rakyat sangat tinggi, namun tiada kesungguhan pihak bertanggungjawab membanteras kegiatan ini dipercayai menyebabkannya terus berleluasa sehingga kini.

“Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras kegiatan ini membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Perkara ini perlu ditangani segera kerana aktiviti ini biasanya bermula dari kecil, kemudiannya menjadi besar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Deklarasi Cyberjaya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegiatan ‘cuci’ duit haram diperoleh daripada sindiket Macau Scam serta judi dalam talian membabitkan golongan selebriti tempatan dan ahli perniagaan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti selebriti dan ahli perniagaan yang terbabit dalam kegiatan scam dan meminta pihak terbabit tampil membantu memberi keterangan kepada SPRM.

Nadzim berkata, peniaga Islam perlu ada identiti dan kualiti yang baik serta tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti scam.

Beliau berkata, semua pihak termasuk artis tidak seharus terpengaruh dengan aktiviti ini kerana ia membabitkan maruah dan boleh menjejaskan kehidupan di masa depan.

Sementara itu, pada program itu sebanyak 35 syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) memeterai perjanjian perniagaan bersama PPIM bagi mengukuhkan ekonomi perniagaan pengusaha Islam.

Deklarasi itu turut memperkukuh kesatuan ummah berlandaskan konsep Rukun Negara bagi menghindarkan perpecahan dalam kalangan ummah dan memperkembangkan perniagaan peniaga Islam di negara ini bagi mengelak ditindas oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel oleh: Harian Metro 

KERJASAMA SEMUA PIHAK BANTERAS MACAU SCAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/629318/kerjasama-semua-pihak-banteras-macau-scam