Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KES PENIPUAN KOLEJ SWASTA, LAPOR TERUS KEPADA KPT – BERITA HARIAN ONLINE – 6/1/18
06 Jan 2018

bh online

KUALA LUMPUR: Pelajar yang teraniaya dalam isu penyelewengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh mana-mana kolej swasta disaran melaporkan terus kes itu kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Gesaan itu dibuat Presiden Persatuan Kolej Universiti Swasta Malaysia (MAPCU), Datuk Dr Parmjit Singh yang turut mengakui terkejut dengan pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Katanya, sebelum ini, tidak pernah berlaku isu pinjaman PTPTN pelajar diseleweng kolej swasta.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai maklumat kolej yang terbabit dalam isu itu, namun akan menyemak dan menyiasat terlebih dulu dakwaan pihak terbabit.

“Kita meminta pelajar yang ditipu mana-mana kolej supaya membuat laporan kepada KPT dan PTPTN.

“Kuasa memberi lesen dan kebenaran di tangan mereka, maksudnya kementerian dan PTPTN saja yang boleh mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan kolej yang menipu pelajar.

“Ini tindakan terbaik bagi membendung masalah ini. Jika keadaan terus melarat, kita bimbang nama baik institusi pendidikan swasta akan terpalit dengan persepsi buruk,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima 30 aduan membabitkan penipuan oleh kolej swasta berkaitan pinjaman PTPTN, termasuk potongan yuran lebih tinggi.

Beliau berkata, menerusi siasatan bahagian Latihan Pendidikan PPIM mendapati, berlaku penipuan oleh kolej swasta yang mengenakan bayaran masuk ke kolej lebih tinggi bagi pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN.

Hadir sama, mangsa penipuan kolej swasta mengenai pemotongan wang pinjaman PTPTN yang mendakwa terpaksa membayar RM70,000 bagi pengajian peringkat diploma dan ijazah dengan bayaran bulanan lebih RM500 sebulan.

Sementara itu, PTPTN dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan mengikut kuasa diperuntukkan terhadap kolej berkenaan.

 

Artikel Oleh : Berita Harian Online

KES PENIPUAN KOLEJ SWASTA, LAPOR TERUS KEPADA KPT 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/371336/kes-penipuan-kolej-swasta-lapor-terus-kepada-kpt