Presiden Persatuan Peng­guna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kadar cukai 10 peratus yang bakal ditetapkan untuk pelbagai bara­ngan akan membebankan golo­ngan berkenaan.

Beliau turut berpandangan, kerajaan perlu bersikap lebih te­lus sebelum membuat keputusan dan mengadakan perbinca­ngan secara komprehensif dengan mana-mana jawatankuasa yang berkaitan.

“SST tidak seharusnya diwujudkan manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya perlu ditambah baik dan bukannya dihapuskan.

“Mungkin kadar cukai GST yang sebelum ini pada enam peratus dapat diturunkan pada dua atau tiga peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jacob mengulas gesaan pelbagai pihak yang menggesa kerajaan PH untuk mengkaji semula cadangan melaksanakan semula SST yang didakwa boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan harus menitikberatkan mekanisme yang perlu diambil bagi membendung masalah kenaikan harga barang.

“Penguatkuasaan perlu giat dijalankan bagi memantau peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati dan pada masa sama, pengguna juga perlu memainkan peranan dalam membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” jelasnya.

Beliau turut meminta para peniaga bersikap jujur dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.