Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KETAGIHAN PERMAINAN DALAM TALIAN SEMAKIN MENULAR – PPIM – BERNAMA – 24/10/2019
24 Oct 2019

MELAKA, 24 Okt — Isu ketagihan permainan dalam talian dilihat semakin bertambah serius sejak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh membawa kesan negatif, kerana ia kini bukan hanya sering menjadi satu ketagihan di kalangan kanak-kanak, malah ia juga telah mulai turut menjangkiti orang dewasa.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata sejak kebelakangan ini pihaknya ada menerima beberapa aduan dan rungutan orang ramai dan juga ketua-ketua jabatan, bahawa terdapat penjawat awan yang ketagih dengan permainan dalam talian hingga menjejaskan tugas mereka.

Beliau berkata walaupun jumlah aduan yang diterima tidak banyak, namun beliau risau sekiranya terus dibiarkan, ia akan menjejaskan mutu perkhidmatan awam.

“Saya menyeru agar ketua-ketua jabatan kerajaan peka dengan perkara ini dan membuat pemantauan serta mengambil tindakan awal bagi membendungnya sebelum terlambat,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Malah menurutnya lebih parah lagi, ada juga kes-kes di mana ada penjawat awam yang sanggup membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’ semata-mata untuk melepaskan ‘gian’ ketagihan itu.

“Saya juga harap agar pihak berwajib mengambil tindakan akan perkara ini sebelum ia meresap dalam sistem masyarakat kita dengan melakukan penguatkuasaan yang lebih ketat dan bersungguh-sungguh serta menambah baik perundangan yang sedia jika perlu,”katanya.

Beliau berkata kerajaan boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh kerajaan China baru-baru ini yang mengharamkan operasi permainan dalam talian ‘PlayerUnknown’s Battlegrounds’ (PUBG) yang digantikan dengan permainan baharu yang lebih bersifat patriotik, dikenali sebagai ‘Game of Peace’.

Menyentuh mengenai ketagihan bermain permainan dalam talian di kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah, Nadzim berkata ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dan dekat dengan anak mereka perlu mainkan peranan dengan membuat pemantauan dan mengehadkan masa anak bersama telefon pintar.

Katanya ibu bapa perlu menjadikan anak sebagai aset atau dijaga seperti emas dan tidak meletakan anak sebagai satu tanggungan atau liabiliti semata-mata.

Artikel oleh: Bernama

KETAGIHAN PERMAINAN DALAM TALIAN SEMAKIN MENULAR – PPIM 

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1782539