Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KETUA PPIM AKAN KE BUKIT AMAN JUGA – HARIAN METRO – 14/08/2020
14 Aug 2020

KETUA aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan akan memberi keterangan di Bukit Aman berkenaan video wawancara penghinaan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

Beliau yang mesra digelar Toqqi berkata, dia dipanggil untuk memberi keterangan berhubung video wawancara itu selepas solat Jumaat hari ini.

Menurut beliau, dua individu yang terbabit dalam wawancara itu iaitu pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid ( Asri Janggut) dan Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam, Masridzi Sat turut dipanggil pada waktu berbeza.

Katanya,beliau akan memberi kerjasama kepada pihak polis dan berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik dan memberi keputusan yang positif.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah menerima permohonan maaf yang dibuat secara terbuka oleh Mohd Asri dan berharap PDRM juga dapat menimbangkan perkara yang sama,” katanya kepada media di Majlis Pelancaran Malakat Grocer 812 di Putra Perdana, Sepang, hari ini.

Terdahulu media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan berkenaan video wawancara Asri Janggut yang terdapat unsur penghinaan terhadap PDRM dan ATM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kedua-dua video berkenaan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana mempunyai unsur jelik serta penghinaan terhadap pihak berkuasa dan siasatan diklasifikasikan mengikutSeksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Nadzim berkata,kenyataan dibuat Asri itu hanyalah suatu tindakan salah faham dan beliau juga tidak mempunyai pengalaman ketika berhadapan dengan pihak media.

Menurut beliau, pihaknya juga menasihatkan Asri supaya tidak lagi memberi sebarang kenyataan bagi mengelak dan mengeruhkan lagi keadaan itu.

Dalam pada itu Nadzim berkata, beliau menggesa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak berkeras terhadap peniaga kecil termasuk yang tidak berlesen ketika berhadapan suasana getir sepanjang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPPP) bagi mendapatkan sumber kewangan.

Katanya, Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) perlu fokus kepada isu sebenar bagi membenteras pusat judi haram dan penjualan rokok seludup warga asing dan bukannya membebankan peniaga kecil yang sudah bertahun menjalankan perniagaan di kawasan itu.

“PBT perlu mencontohi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Annuar Musa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang banyak membantu peniaga kecil termasuk menyediakan pusat perniagaan dan memberi lesen bagi meningkat ekonomi peniaga,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

KETUA PPIM AKAN KE BUKIT AMAN JUGA 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/610196/ketua-ppim-akan-ke-bukit-aman-juga