Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KISAH ASNAF BERSEMANGAT UNTUK BERJAYA – PPIM – 09/07/2019
09 Jul 2019

Tidak lama dahulu kehidupannya kelam, suram tanpa hala tuju. Sejak suaminya ditahan oleh Agensi Dadah Kebangsaan, Marsyilla Zakaria, 34 hilang arah dan buntu mencari rezeki bagi menyara tujuh orang anak.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui maklumat oleh rakan media di Malaysia Gazette telah menyeru rakyat untuk membantu wanita tabah ini bangkit demi masa depan anak-anaknya.

Walaupun menerima bantuan sewa rumah, bantuan perubatan dan bantuan sara hidup dari pihak Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jumlah itu masih tidak mencukupi buat Marsyilla kerana anaknya yang berusia 8 tahun merupakan seorang kurang upaya atau OKU.

Shahila Islahudden Shah, 8 merupakan OKU mempunyai masalah Autism yang agak kronik dimana dia tidak mampu berkomunikasi dan kerap mencederakan diri sendiri.

Anak sulung keluarga ini pula ditempatkan di asrama khas untuk anak-anak asnaf bagi menjamin masa depannya.

Sejak kisahnya yang makan hanya berlaukkan garam tular, Marsyilla mula mendapat perhatian banyak pihak dan pelbagai jenis bantuan dihulurkan.

Dahulu dia hanya mampu bekerja mengambil upah membasuh pakaian kerana tidak boleh meninggalkan anak-anak yang masih kecil, kini setelah menerima sumbangan sebuah oven dan peti sejuk beku oleh orang ramai, Marsyilla mampu tersenyum bangga apabila dia mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah dengan menjual kek dan ayam goreng berempah.

Setelah mengharungi pelbagai tohmahan termasuk dari netizen yang mendakwa dia pemalas dan mengambil kesempatan atas keprihatinan masyarakat, Marsyilla kini akan terus mengorak langkah dan semakin bersemangat membuktikan dia boleh berjaya.

Terkini, Marsyilla bercadang untuk menyewa sebuah kedai dengan seorang rakannya bagi mengusahakan sebuah restoran.

“Memang impian saya dan suami untuk memiliki perniagaan sendiri, kecil pun tak apa, demi masa depan kami dan anak-anak. 

“Siapa sangka setelah melalui fasa amat memeritkan dan dihina, difitnah dengan pelbagai tomahan, kini Allah membuka pintu rezeki buat keluarga kami sedikit demi sedikit,” katanya kepada PPIM.

Marsyilla amat berterima kasih kepada pihak Baitulmal Kuala Lumpur yang banyak membantunya sebelum kisahnya tular.

“Saya tak pernah kata mereka tak bantu, mereka amat membantu, namun nasib tidak menyebelahi saya. Dan kini saya masih ditahap mencuba untuk keluar dari belenggu kemiskinan dengan bantuan Baitulmal, PPIM dan orang ramai,” katanya.

Marsyilla turut berterima kasih kepada Malaysia Gazette yang telah berkongsi kisah kehidupannya dengan anak-anak sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

“Saya akan terus berusaha, dengan semangat yang baru dan azam yang lebih tinggi, saya mahu berjaya, saya mahu membalas jasa semua dan mahu menjadi pembayar zakat suatu hari nanti,” katanya.