Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KKM PERLU BERALIH DARIPADA TOPIK IVERMECTIN – HARIAN METRO – 04/11/2021
05 Nov 2021

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu lebih fokus terhadap penggunaan ubat antiviral yang sudah melalui kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berbanding Ivermectin.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, KKM perlu beralih daripada topik Ivermectin yang mana skop kajiannya hanya tertumpu pada sekelompok subjek sahaja (pesakit Covid-19 dan 50 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi).

“Terdapa ura-ura mengatakan bahawa ubat antiviral atau penawar Covid-19 ini sudah sampai ke peringkat akhir dan kemungkinan besar akan berada di pasaran.

“Oleh itu, adakah kita perlu ‘move on’ daripada topik Ivermectin ini.

“Pada pendapat saya adalah lebih baik kita memberi tumpuan kepada topik (ubat) yang lebih meyakinkan iaitu ubat di mana WHO sudah membuat kajian kepada 50 negara dengan populasi tertentu dengan jumlah subjek yang lebih besar untuk penggunaan ubat antiviral terbabit.

“Selain itu, hasil dapatan daripada kajian Ivermectin (I-TECH) ke atas subjek yang dikeluarkan KKM semalam, kita tidak boleh terus merumuskan Ivermectin langsung tak berkesan.

“Hasil daripada kajian itu sendiri tiada kesan signifikan penggunaan Ivermectin.

“Maknanya ada kes terkena ciri-birit tetapi jumlah yang mengalaminya tidak ramai dan daripada kajian itu juga melaporkan tiada kematian disebabkan penggunaan Ivermectin walaupun orang itu berusia 50 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi,” katanya yang dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung Ivermectin tidak disyor digunakan dalam garis panduan rawatan sedia ada Covid-19 sedangkan terdapat pihak mendesak KKM menggunakan ubat berkenaan.

Dr Hanafiah berkata, jika kerajaan masih lagi mahu fokus kepada Ivermectin disebabkan kos harga ubat ini adalah lebih murah, kerajaan boleh mengubah sasaran golongan kajian kepada yang lebih golongan muda, sihat dan tiada masalah kesihatan, oleh itu kemungkinan Ivermectin ini boleh digunakan untuk golongan terbabit.

“Ini tidak adil untuk menyatakan Ivermectin tidak boleh digunakan langsung untuk rakyat Malaysia hanya berdasarkan kajian ke atas mereka berusia 50 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi.

“Kita kena faham ubat Ivermectin adalah anti parasit di mana ia adalah ubat terkawal dan saya menasihatkan kepada sesiapa hendak mengambil ubat terbabit, sila ambil daripada golongan profesional seperti doktor dan ahli farmasi di mana mereka boleh mendapatkan cara betul pengambilan ubat, kesan sampingan dan komplikasi sekiranya mengambil ubat itu.

“Jangan beli di pasaran gelap, itu jika dibenarkan kelak (penjualan Ivermectin),” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menyarankan agar Ivermectin digunakan sebagai rawatan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19, pihaknya menerima apa sahaja keputusan KKM.

“Kami ok sahaja jika Ivermectin tidak dibenarkan penggunaannya, sebab memang kami sudah menjangkakan keputusan KKM itu.

“Paling penting NGO sudah menjalankan tugas dan kami faham semua ada perancangan dan ikut skrip cerita masing-masing dan saya ucap tahniah.

“Sedangkan negara Indonesia, Thailand dan India boleh menerima Ivermectin.

“Kita boleh lihat berapa ramai yang meninggal disebabkan Covid-19 berbanding menggunakan Ivermectin,” katanya.

Beliau turut menjangkakan selepas ini ubat Covid-19 juga akan wujud dan dijual pada harga mahal dan itu propaganda yang memang sudah dirancang.

Artikel oleh: Harian Metro

KKM PERLU BERALIH DARIPADA TOPIK IVERMECTIN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/11/773908/kkm-perlu-beralih-daripada-topik-ivermectin