Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KKM PERLU SEDIA PANDUAN TUNTUTAN GANTI RUGI UNTUK PESAKIT COVID-19 – UTUSAN MALAYSIA – 14/04/2021
15 Apr 2021

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mewujudkan satu kaedah yang mudah dan mesra pengguna untuk mangsa-mangsa Covid-19 dan bagi mereka yang telah kehilangan mana-mana ahli keluarga akibat virus itu untuk menuntut wang pampasan yang telah dijanjikan pihak kerajaan.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga kini, pihak kementerian masih belum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci kepada mereka yang mahu membuat tuntutan.

“Sebelum ini, kerajaan pernah menjanjikan pampasan kepada mangsa Covid-19, namun, sehingga kini, kebanyakan kes kematian melibatkan pesakit Covid-19 sering dikatakan berpunca daripada masalah kesihatan lain contohnya sakit jantung. Jadi, bagaimana cara mangsa atau keluarga mangsa membuat proses tuntutan?

“Sebelum ini, kerajaan telah menjanjikan untuk memberi sejumlah wang tuntutan kepada mangsa Covid-19 dan juga ahli keluarga mangsa Covid-19 yang meninggal dunia. Namun, sehingga sekarang masih belum ada apa-apa kaedah. Kekhuatiran mereka ini sangat difahami kerana masih tiada cara yang jelas diterangkan oleh pihak berwajib,” katanya di sini hari ini.

PPIM telah menerima banyak aduan dari mereka yang telah mendapat suntikan vaksin seperti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan berikutan mereka mengalami kesan sampingan.

Antara kesan sampingan yang telah dikenal pasti adalah kesakitan, kemerahan dan bengkak di lengan yang disuntik.

“PPIM juga berharap kerajaan boleh menjadi lebih peka terhadap mangsa yang terkesan ini dengan membantu secara lebih serius dalam menangani kes-kes aduan ini.

“Memandangkan mereka masih belum mendapat maklum balas dan tindakan yang sepatutnya dari pihak berkuasa dan inilah persoalan yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini,” katanya.

Nadzim meluahkan juga kebimbangannya apabila pengeluar vaksin tidak mahu bertanggungjawab atas apa jua kesan sampingan vaksin termasuk yang mahu menuntut ganti rugi daripada pihak kerajaan dan perkara itu dinyatakan dalam polisi syarikat vaksin.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

KKM PERLU SEDIA PANDUAN TUNTUTAN GANTI RUGI UNTUK PESAKIT COVID-19

https://www.utusan.com.my/berita/2021/04/kkm-perlu-sedia-panduan-tuntutan-ganti-rugi-untuk-pesakit-covid-19/