Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KOPPIM MELANCARKAN PELAN EKOSISTEM EKONOMI ISLAM BARU – KENYATAAN AKHBAR PPIM – 03/10/2019
03 Oct 2019

Cyberjaya, 3 Oktober — Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) hari ini melancarkan Pelan Ekosistem Ekonomi Islam baru.

Pengerusi PPIM, Nadzim Johan berkata, KoPPIM akan bertunjangkan tiga teras utama iaitu Pembangunan Ahli KoPPIM, Pembangunan Syarikat Pembayar Zakat dan Pembangunan Eko-Sistem Ekonomi Beretika.

“Jika kami berjaya merealisasikan perancangan yang kami telah rangkakan ini, KoPPIM bakal menjadi tunjang kekuatan ekonomi Islam di negara ini,” katanya di Majlis Pelancaran Pelan tersebut di Raudhah City, Cyberjaya hari ini.

Tambah Nadzim lagi, dengan halatuju yang baru, KoPPIM turut melantik Ketua Pengarah Eksekutif yang baru iaitu pengasas rangkaian pendidikan jenama Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim.

Sebagai CEO KoPPIM yang baharu, Mohd Fadzil telah mengumumkan KoPPIM merancang untuk membuka 100 cawangan Malakat Mall khusus untuk usahawan Bumiputera bagi tujuan meningkatkan ekonomi umat Islam selaras dengan ketiga-tiga teras utama KoPPIM.

Mohd Fadzil berkata, sistem ekonomi sedia ada telah gagal membawa umat Islam dan orang Melayu khususnya untuk maju dan menjadi penggiat utama ekonomi negara.

Dengan lebih 1 trillion ringgit dibelanjakan untuk membangunkan ekonomi Bumiputera negara ini, agak mengecewakan apabila Bumiputera masih jauh ketinggalan dalam persaingan ekonomi dan perniagaan.

“Sebagai contoh daripada keseluruhan RM108 billion nilai pasaran runcit negara (retail supply chain), Bumiputera hanya menguasai sebanyak RM8 billion, manakala baki RM32 billion adalah milik bukan Bumiputera dan lebih membimbangkan RM60 billion dikuasai syarikat asing,” katanya.

Menurut Fadzil, jumlah itu bakal ditingkatkan dengan kerjasama KoPPIM dan semua umat Islam di negara ini.

“Kita mampu mengubah ekosistem ekonomi negara ini, kita mampu menjadi kaum yang berjaya, kita kena mula dari sekarang,” katanya.

KoPPIM merancang untuk menjadikan pengguna sebagai pemilik ekonomi negara melalui pelaburan ke dalam pasaran strategik seperti perumahan, pendidikan, Mall, pemakanan, pengilangan, penternakan dan Online Mall.

Mohd Fadzil menegaskan KoPPIM bakal menjadi landasan utama ekonomi Bumiputera dengan menyatukan sumber pembekalan dan pembelian, menjadi pelabur strategik di dalam ‘supply chain development’, menjadi pengurus dana pelaburan dalam sektor strategik, menjadikan pengguna sebagai pemilik kekayaan ekonomi dan memastikan ‘fair distribution of wealth’.