Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KPDNHEP TIADA KUASA KE ATAS PENJUALAN UBAT – BERITA HARIAN – 21/7/18
21 Jul 2018

BH ( penjualan ubat) 21.7.18

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tidak memiliki sebarang kuasa ke atas barang terlarang seperti ubat terkawal yang kini dijual secara berleluasa.

Ini berikutan KPDNHEP tidak diperuntukkan kuasa di bawah undang-undang, sebaliknya tindakan bagi jualan barang terlarang boleh diambil oleh Kementerian Kesihatan.

Hanya boleh ambil tindakan atas kenyataan palsu Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Roslan Mahyudin, berkata namun KPDNHEP boleh mengambil tindakan ke atas kenyataan palsu pada barang.

“Tetapi, untuk menentukan sama ada kenyataan pada sesuatu barang berkenaan palsu atau sebaliknya, ia bergantung kepada aduan pengguna.

“Pengguna yang sudah menggunakan produk berkenaan jika mendapati sesuatu kenyataan itu palsu, perlu mengadu kepada KPDNHEP supaya tindakan boleh diambil,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas laporan BH mengenai penjualan ubat terkawal Isotrenoin secara berleluasa di media sosial mencetus kebimbangan, berikutan penggunaannya untuk rawatan jerawat serius tanpa kawalan, mampu mengundang pelbagai risiko.

Selain kesan sampingan termasuk komplikasi kesihatan terhadap pengguna, penggunaan Isotretinoin oleh wanita mengandung berisiko mengundang kecacatan janin yang boleh mengakibatkan keguguran atau malformasi kepada bayi yang dilahirkan.

Sehingga semalam, belum ada kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan mengenai isu ini.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang kerana pihak berkuasa seolah-olah tidak menjaga hak pengguna.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata kemudahan jualan secara dalam talian dan media sosial sangat bebas, seolah-olah tidak ada kawalan dari agensi penguatkuasaan.

“Walaupun hak mengisytiharkan sesuatu ubat itu sebagai ubat kawalan atau tidak di bawah Kementerian Kesihatan, tetapi penjualannya kepada orang awam tertakluk di bawah bidang kuasa KPDNHEP” katanya.

Nadzim berkata, kementerian itu bertanggungjawab secara langsung terhadap hak pengguna dan jualan barang.

Katanya, pengguna tidak boleh dipersalah jika mereka membeli ubat kawalan yang tidak disekat oleh KPDNHEP, kerana mustahil untuk memaksa pengguna mengetahui mana satu barang yang dijual itu boleh dibeli atau sebaliknya.

“Pengguna beranggapan jika sesuatu barang dijual di pasaran terbuka, bermakna ia boleh dibeli.

“Jika tidak boleh dibeli, janganlah dibenarkan dijual,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu sama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Malaysia (JAKIM) yang mengeluarkan sijil halal, tetapi JAKIM tiada kuasa untuk melarang jualan barang tiada sijil halal kerana itu di bawah kuasa KPDNHEP. 

 

Artikel Oleh : Berita Harian

KPDNHEP TIADA KUASA KE ATAS PENJUALAN UBAT