Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2850) KPDNKK JAMIN BARANG KEPERLUAN CUKUP UNTUK SAMBUTAN AIDILADHA
21 Sep 2015

Bekalan bahan keperluan dijamin mencukupi bagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Katanya kementerian juga akan melaksanakan pemantauan menyeluruh bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati, walaupun tiada skim kawalan harga barangan musim perayaan untuk Aidiladha.

“Dari segi bekalan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah maklumkan kepada kita bahawa bekalan bahan mentah adalah mencukupi.

“Dari segi penguatkuasaan kita sudah arahkan pegawai turun ke pasar raya dan pasar besar untuk pantau harga, jika ada yang naikkan harga terlalu tinggi kita akan bagi notis seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan kepenggunaan 2015, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kementerian bersedia mengkaji gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya satu badan atau sekretariat khas diwujudkan bagi memantau caj melampau tanpa notis yang dikenakan kepada pengguna.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah meminta pengguna tampil sendiri membuat aduan kepada kementerian bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan dilaksana.

“Pandangan dari PPIM kita ambil kira, tetapi saya lebih suka jika aduan dibuat sendiri oleh pengguna, contohnya jika ada kawasan letak kereta kenakan caj tidak munasabah, kita boleh tengok,” katanya.

Semalam, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata persatuan itu menerima lebih 300 aduan mengenai pelbagai caj tidak munasabah sejak lapan bulan lepas.

Antaranya caj meletak kenderaan, telekomunikasi dan stesen televisyen berbayar yang dikenakan tanpa notis.

Beliau berkata antara kes yang diterima termasuk caj letak kereta RM4 untuk 12 minit dan RM400 untuk empat hari. – BERNAMA