Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KURSUS LAHIR MUTAWIF, MUTAWIFAH – UTUSAN MALAYSIA – 20/09/2019
20 Sep 2019

BAGI mengurangkan kos selain memudahkan urusan pengendalian di Tanah Suci, terdapat agensi pelancongan, umrah dan haji yang mengambil pelajar di Arab Saudi sebagai pembimbing umrah dan haji (mutawif) bagi mengendalikan kumpulan jemaah masing-masing.

Hal ini kadang kala menimbulkan masalah kepada jemaah kerana mutawif sambilan tersebut tidak berada sepenuhnya bersama mereka, terutama apabila wujud masalah tidak dijangka.

Ditambah pula perbezaan budaya dan bahasa apabila pembimbing umrah dan haji tersebut bukan anak jati Malaysia.

Menyedari kekurangan itu, bagi melahirkan lebih ramai mutawif profesional tempatan, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menganjurkan Kursus Profesional Sijil Mutawif dan Mutawifah 2.0.

Kursus yang dikendalikan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu diadakan di tiga lokasi berasingan dengan disertai seramai 400 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Ketua Biro Penggerak Belia PPIM, Abd. Halim Ikhsan berkata, kursus itu bertujuan memberi nilai tambah kepada peserta selain memiliki ijazah bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran mahasiswa dalam dunia pekerjaan.

“Melihat kepada permintaan luas dalam sektor ini, kursus ini dilihat penting bagi melahirkan lebih ramai mutawif, mutawifah dan kakitangan pengurusan umrah dalam kalangan mahasiswa universiti awam secara profesional.

“Selain mendedahkan kepada pelajar mengenai realiti kerjaya mutawif dan pengurusan umrah, kursus ini juga memberi peluang kepada peserta meluaskan pengetahuan dengan mendapatkan tempat kerjaya dalam bidang pelancongan,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Operasi Strategik, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan, Fazli Said di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Islamic Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud; Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Selain didedahkan dalam kursus teori, kesemua peserta akan ditempatkan di syarikat pengendali umrah untuk menjalani sesi praktikal selama satu bulan setengah bermula 3 September lalu.

Sebanyak 60 syarikat pengendali umrah memberikan kerjasama penuh dalam memberikan tempat praktikal kepada peserta program ini.

Sementara itu Md. Amin berkata, kursus itu diharap mampu melatih mahasiswa sehingga mereka mampu terbang ke Tanah Suci dan menimba pengalaman sebagai pembantu mutawif seterusnya diserap menjadi mutawif.

Tambahnya, syarikat pengendali umrah yang menjadi Pelatih Latihan Industri program ini juga berpeluang mengambil peserta kursus yang berpotensi sebagai kakitangan tetap.

“Hari ini mahasiswa tidak boleh mengharapkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mempelbagaikan nilai tambah termasuk menjadi mutawif secara profesional,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

KURSUS LAHIR MUTAWIF, MUTAWIFAH

https://www.utusan.com.my/mega/agama/kursus-lahir-mutawif-mutawifah-1.973489