Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
LANJUTAN MORATORIUM BUKTI KERAJAAN KOMITED BANTU RAKYAT – BERNAMA – 29/07/2020
03 Aug 2020

KUALA LUMPUR, 29 Julai  —  Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)  menyifatkan pelanjutkan moratorium jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat khususnya mereka yang berada dalam kesempitan ketika ini.

Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Cuepacs juga memuji komitmen bank dan institusi kewangan di negara ini yang sanggup bersama kerajaan dalam mengharungi waktu sukar.

“Dalam masa yang sama kita berharap agar proses pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini tidak dirumitkan dengan kerenah birokrasi yang akan menyulitkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya Cuepacs mencadangkan agar Bank Negara menetapkan satu standard yang boleh diguna pakai oleh semua bank serta institusi kewangan di negara ini bagi memastikan tiada syarat atau kerenah birokrasi dilakukan oleh insitusi kewangan tanpa pengetahuan kerajaan hingga menyulitkan rakyat.

Beliau berkata pemberian moratorium dan bantuan bersasar ini perlu mengambil kira keseluruhan pendapatan isi rumah dan bukan individu yang mempunyai pinjaman sahaja.

Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata institusi perbankan negara perlu bersama-sama meneruskan pelaksanaan tempoh lanjutan moratorium baharu kepada peminjam.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi kini yang menekan kemampuan rakyat untuk membayar pinjaman, perkembangan itu adalah amat diperlukan.   

“Untuk menstabilkan keadaan sekarang bukanlah perkara yang mudah, jadi pihak bank perlu memberi kerjasama kepada peminjam dan jangan ambil kesempatan terhadap mereka yang sedang dalam kesempitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Senada dengan pendapat Nadzim, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Ariff berkata lanjutan itu secara tidak langsung akan memberi dua kesan iaitu kebaikan dan keburukan kepada peminjam.

Rosland menjelaskan bahawa, apabila tamat sahaja tempoh moratorium, pihak bank boleh terus mengambil tindakan terhadap peminjam oleh itu beliau menggesa pihak bank untuk ‘berlembut’ dan tidak terlalu menekan. 

“Pengalaman persatuan saya menguruskan kes melibatkan moratorium, ada bank yang mengambil tindakan dengan menarik semula hak pemilikan peminjam ketika masih dalam tempoh tersebut. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan pihak bank harus batal dan ‘menjadual semula’ semula berdasarkan tempoh yang ditetapkan,” katanya. 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Perasatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusoff Abdul Rahman dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz menyokong lanjutan tempoh tersebut.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19 manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Artikel oleh: Bernama 

LANJUTAN MORATORIUM BUKTI KERAJAAN KOMITED BANTU RAKYAT

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=1865579