Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
LUPAKAN DULU, KETAM, SOTONG, UDANG – SINAR HARIAN – 01/04/2020
02 Apr 2020

PADA ketika ini, setiap kali menyelak helaian akhbar atau melayari laman media sosial, kita disajikan berita angka kematian di seluruh dunia yang semakin meningkat angkara pandemik Covid-19. Namun, masih ada yang berasa diri kebal dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 14 April ini bagi membendung penularan pembunuh tidak kelihatan itu.

Di sebalik kedegilan sekelompok masyarakat, kerajaan terus berhempas-pulas menangani isu kritikal ini dan pada masa sama membela nasib rakyat yang terjejas akibat lanjutan PKP.

Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah 40 bilion serta penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana merupakan antara inisiatif kerajaan demi meringankan beban kewangan lebih 32 juta rakyat Malaysia.

Namun benarkah dengan segala kemudahan dan kelonggaran yang diberikan, rakyat Malaysia berasa mewah meskipun ‘terkurung’ di rumah pada ketika ini?

Menurut penulis buku kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad, kerajaan sememangnya serius dalam membantu mengatasi masalah dan emosi rakyat dengan memberi pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Prihatin Rakyat dan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 KWSP.

Azizul Azli
Azizul Azli

“Kita sedia maklum kajian-kajian sebelum ini mendapati bahawa kadar simpanan dana kecemasan rakyat Malaysia berada pada tahap yang rendah. Insentif ini memberi kelegaan pada emosi dan kedudukan kewangan sewaktu tempoh PKP ini,” kata Azizul kepada Sinar Harian semalam.

Jika kita hitung jumlah penerimaan bantuan kewangan yang digambarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keluarga Mak Cik Kiah, secara purata sebuah keluarga seperti Mak Cik Kiah akan mendapat insentif berjumlah RM4,200 dan jumlah penjimatan daripada rebat elektrik, utiliti, pinjaman, sewa dan sebagainya sehingga RM8,300.

Jangan boros

Azizul yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara berkata, sesungguhnya bantuan tersebut memberi kelegaan buat isi rumah B40.

“Ia sebenarnya bukan mewah, tetapi ia adalah sebuah gambaran bahawa PKP ini tidak hanya akan berlaku dalam tempoh 30 hari tetapi kita perlu bersedia untuk hadapi ini selama enam bulan ke depan.

“Saya ada menulis sewaktu hari keempat PKP bahawa PKP akan dilanjutkan dan ternyata ia benar. Maka persiapan secara kewangan dan mental untuk tempoh itu perlulah ada. Kita bukan terpaksa menghadapinya sebulan dua tetapi mungkin akan terkesan enam bulan ke depan.

“Mungkin kita tak perlu ada hidangan udang, sotong dan ketam lagi di atas meja. Ini masa untuk berjimat-cermat, kena didik keluarga dari sekarang, makan bukan untuk sedap tapi untuk kenyang,” kongsi Azizul.

Begitulah antara bait-bait yang dikongsi Azizul tentang sikap segelintir masyarakat yang masih berbelanja boros seperti sedang menikmati percutian yang panjang.

“Banyak jenis makanan sedang dicuba, malah sehari dua ada orang boleh viral cara buat kek dan buat kopi. Mereka seperti tidak bersedia secara mental bahawa ia bukan hanya wabak penyakit tetapi kita sedang menghadapi wabak ekonomi yang dahsyat dalam peradaban manusia.

“Kita masih belum bersedia untuk hidup berjimat, bersederhana, sebab kita jangkakan ia sementara sahaja. Kita harus melihat secara global bahawa ia meliputi seluruh dunia.

“Ada di antara kita masih dalam mood bercuti saya kira dengan menikmati makanan mewah setiap hari.

“Tanya diri kita, kita ada simpanan enam bulan kecemasan atau tidak? Jika tiada, saya sarankan mulakan catu atau jaga bahan makanan kita. Manfaatkan duit RM500 KWSP untuk pembelian makanan dan perubatan keluarga kita dulu,” katanya lagi.

Ketua keluarga yang membeli barangan dapur di pasar perlu berjimat-cermat demi menjaga kewangan keluarga dalam berdepan zaman kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19.
Ketua keluarga yang membeli barangan dapur di pasar perlu berjimat-cermat demi menjaga kewangan keluarga dalam berdepan zaman kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Ditanya tentang kepentingan menabung pada ketika ini, Azizul menegaskan, beliau telah menulis tentang isu menabung sejak tahun 2015.

“Kita harus menabung setiap kali memiliki gaji. Dan bila keadaan begini berlaku, kita wajib meningkatkan kadar tabungan kita kepada 50 peratus daripada gaji.

“Jika selama ini kadar tabungan kita hanya sekitar lima hingga 10 peratus, maka saat ini belanja hangus biasanya (30 peratus) kita manfaatkan untuk tujuan tabungan juga.

“Jika gaji kita 50 peratus untuk belanja keperluan, 30 peratus belanja hangus dan 20 peratus untuk simpanan pelaburan. Maka ini saatnya kita masukkan 30 peratus belanja hangus tambah 20 peratus bagi menjadikannya 50 peratus.

Azizul berkata, menabung bukan soal duit, sebaliknya ia soal mentaliti yang perlu dibetulkan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, pemberian pelbagai bantuan kewangan oleh pihak kerajaan merupakan inisiatif yang bagus dan amat dialu-alukan bagi meringankan beban rakyat.

Nadzim
Nadzim

“Apa yang perlu diutamakan adalah penyampaian bantuan itu kepada pengguna dalam kadar segera. Saya minta agensi-agensi yang bertanggungjawab mempermudahkan prosedur dan memastikan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian.

Menjawab soalan apakah kini waktu yang tepat bagi rakyat Malaysia untuk menyimpan susulan pelbagai bantuan yang ditawarkan, Nadzim berkata, selain peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga, tempoh PKP ini merupakan ‘waktu latihan’ kerana negara tidak pernah berdepan situasi seperti ini.

Katanya: “Dengan pelbagai bantuan yang diberikan, kita harus menjadikan ia kesempatan untuk menambah tabungan, kerana kita sebenarnya tidak perlu berbelanja terlalu banyak ketika tempoh PKP, kita harus cuba berjimat.”

Menurut beliau, masyarakat harus berfikir untuk masa akan datang terutama selepas wabak Covid-19 ini berakhir, kita masih perlu membayar kembali hutang sedia ada sebelum ini.

“Anggaplah ini semua sebagai hikmah tersembunyi dan jadikanlah tempoh PKP ini sebagai waktu yang boleh memberi kesedaran kepada kita semua,” kata beliau.

Artikel oleh: Sinar Harian

LUPAKAN DULU, KETAM, SOTONG, UDANG 

https://www.sinarharian.com.my/article/76704/ANALISIS-SEMASA/Lupakan-dulu-ketam-sotong-udang