Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MACAM MANA DIA LOMPAT PAGAR? – HARIAN METRO – 15/10/2020
15 Oct 2020

Kuala Lumpur: Kehilangan suspek utama bergelar Datuk Seri yang disiasat berhubung kes pengubahan wang haram sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lalu menimbulkan seribu tanda tanya.

Malah, timbul tanda tanya adakah suspek yang menjadi dalang dan dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilarikan atau dibantu pihak tertentu.

Sehingga kini belum ada maklum balas berhubung kejadian berkenaan yang dikeluarkan PDRM dan SPRM walaupun ia hangat diperkatakan di media sosial.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kejadian aneh itu dibimbangi boleh menyebabkan kredibiliti PDRM dan SPRM dipertikai masyarakat.

“Apakah prosedur operasi standard (SOP) ketika penyerahan suspek dipatuhi sepenuhnya atau tidak?

“Seperti kes Macau Scam ini, PPIM sudah bawa bertahun-tahun. Apa jaminan kes ini diambil perhatian dan jaminan tidak lagi berlaku pada masa akan datang?

“Kita letak kepercayaan kepada penguat kuasa, tapi jika berlaku yang tidak betul, susahlah, apatah lagi individu disyaki terbabit dengan kes berprofil tinggi,” katanya.

Nadzim berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga perlu memberi perhatian kepada perkara itu ia boleh menjejaskan imej badan penguat kuasa yang diberi amanah besar.

“Bagaimana suspek boleh memanjat pagar dan mampu mengatur rancangan meloloskan diri selepas dibebaskan SPRM untuk proses reman PDRM?

“Ketika jangka masa penyerahan suspek kepada PDRM, kenapa tidak ada pengiring dan SOP yang dipatuhi? Ini mengundang keraguan.

“Kita berdepan kes penipuan ratusan juta ringgit duit rakyat Malaysia dengan pembabitan pegawai tinggi pihak berkuasa. Saya harap ada penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

Isnin lalu, suspek utama itu dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek yang juga dalang utama kes penipuan Macau Scam dan dua pegawai polis dalam proses diserah kepada PDRM untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Artikel oleh: Harian Metro

MACAM MANA DIA LOMPAT PAGAR?

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/10/630840/macam-mana-dia-lompat-pagar