Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kesemua pengusaha stesen minyak berkenaan kini berada dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mengetahui kesilapan ma­sing-masing sehingga memaksa mereka menghentikan operasi perniagaan yang telah dijalankan lebih 10 tahun lalu.

“Tindakan syarikat minyak Caltex memberi notis terlalu singkat iaitu 30 hari sangat tidak adil kerana mencabul hak kami selaku ahli perniagaan.

“Sebab itu kami merayu supaya KPDNKK masuk campur menyelesaikan masalah ini memandangkan pengusaha telah mematuhi kesemua arahan dan peraturan yang te­lah ditetapkan kerajaan serta syarikat minyak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Isnin lalu, 15 orang pengusaha stesen minyak terbabit berang dengan tindakan Caltex yang memberi notis kepada mereka agar menamatkan perkhidmatan dalam tempoh 30 hari, sekali gus menyebabkan kira-kira 200 kakitangan hilang pekerjaan.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, syarikat Caltex sepatutnya memberi peluang untuk bersemuka dan berunding dengan kesemua pengusaha terbabit bagi menjelaskan masalah yang mereka hadapi.

Sementara itu, seorang pengusaha stesen minyak, Fauziah Ahmad Fadzil berkata, kes itu sangat mengejutkan kerana beliau telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 18 tahun lalu, tanpa melanggar undang-undang atau sebarang peraturan yang ditetapkan oleh syarikat minyak berkenaan.

“Saya merayu supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia mengakibatkan kami berdepan dengan kerugian yang besar jika stesen minyak ini ditutup,” katanya yang menjalankan perniagaan tersebut di Jalan Subang, di Shah Alam.

Seorang lagi pengusaha, Simon Yong memberitahu, keadaan itu menyebabkan beliau merasakan telah dizalimi dan akan menuntut haknya dan berusaha sedaya-upaya agar masalah tersebut dapat diselesaikan.

“Saya berhak mengetahui kesilapan yang telah saya lakukan sehingga syarikat Caltex mengarahkan supaya menamatkan operasi, sedangkan kami tidak melakukan sebarang kesilapan,” ujarnya yang banyak kali mendapat pengiktirafan sebagai pengusaha stesen minyak cemerlang sebelum ini.

Snapshot