Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MALAKAT GROCER 812 UMUM BANTUAN SUBSIDI MAKANAN UNTUK B40 – MALAKAT TRIBUNE – 14/08/2020
14 Aug 2020

PUCHONG – Malakat Mall mengumumkan pelancaran subsidi makanan golongan B40 serentak dengan pembukaan cawangan pertama Malakat Grocer 812 di Taman Putra Perdana, Puchong hari ini.

Bantuan dalam bentuk potongan harga terendah itu ditawarkan kepada penduduk di sekitar pasar raya itu yang berpendapatan isi keluarga di bawah RM2,000 sebulan.

Orang ramai berbelanja di Malakat Grocer 812 yang memulakan operasi pada hari ini di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. Gambar FARID ZANUDIN.

Pengasas Malakat Grocer 812, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pemberian subsidi itu diharap dapat mengurangkan beban kos perbelanjaan dan sara hidup yang ditanggung golongan berkenaan.

“Subsidi dalam bentuk potongan harga barang-barang ini akan disalurkan daripada dana yang telah diperuntukkan untuk tujuan itu.

“Kita berharap ia akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar pasaraya ini memandangkan kawasan Putra Perdana ini mempunyai golongan B40 yang tertinggi dalam Parlimen Sepang.

“Jadi sesiapa sahaja ahli komuniti di kawasan ini layak memohon dan mendapatkan kemudahan subsidi untuk golongan fakir miskin ni,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra pembukaan Malakat Grocer 812 di sini.

Mohd. Fadzil Hashim (kanan) bersama Nadzim Joham berucap pada majlis pra pembukaan Malakat Grocer 812 yang memulakan operasi pada hari ini di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. Gambar FARID ZANUDIN

Malakat Grocer 812 merupakan rangkaian pasar raya Malakat Grocer di Malakat Mall (dahulu dikenali Raudhah Grocer) yang diwujudkan pada skala lebih kecil dengan konsep komuniti.

Majlis turut dihadiri Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ahli Majlis Taman Putra Perdana, Nor Azmi Saonan.

Mohd. Fadzil berkata, pihaknya turut menyediakan sudut infak yang membolehkan sesiapa sahaja mendapat barang-barang keperluan asas secara percuma di pasaraya tersebut.

“Sudut infak ini telah dimulakan di Malakat Mall sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi untuk sebagai bantuan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

“la juga memberi peluang kepada pelanggan dan sesiapa sahaja yang dermawan untuk melakukan sedekah di tempat yang betul selain dari mengisi tabung-tabung masjid,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan sasaran pembukaan 1,000 cawangan Malakat Grocer 812 dalam tempoh 10 tahun untuk memberi peluang kepada usahawan memiliki francais runcit itu tanpa perlu membayar yuran francais.

“Pasaraya ini adalah usaha kita untuk mengembalikan semula ekonomi ummah dan mengambil alih semula 50 peratus pemilikan syarikat asing dalam tempoh 10 tahun.

“Bayangkan saudara-saudara sekalian, daripada RM110 bilion nilai perbelanjaan dalam sektor runcit tahun lalu, hanya lapan peratus sahaja sampai kepada kita umat Islam,” katanya.

Orang ramai kini boleh mendaftar sebagai ahli KoPPIM dengan tawaran dividen sehingga 15 peratus. Gambar FARID ZAINUDIN

Tambah beliau, selain pelbagai peluang perniagaan kepada usahawan, Malakat Grocer 812 turut menawarkan bayaran dividen kepada orang ramai yang mendaftar sebagai ahli dan mencarum dalam Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Fadzil berkata, pihaknya menawarkan pengagihan dividen sebanyak lapan hingga 15 peratus kepada setiap ahli daripada keuntungan perniagaan Malakat Grocer.

“Semua ini kami cipta supaya kekayaan yang diraih dapat balik semula kepada kita dan digunakan untuk membangunkan ekonomi ummah.

“Kita mohon agar usaha ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan kuasa ekonomi umat Islam,” katanya.

KAKITANGAN Malakat Mall mempamerkan poster barang-barang promosi sempena pembukaan Malakat Grocer 812 hari ini. Gambar FARID ZANUDIN

Artikel oleh: Malakat Tribune

MALAKAT GROCER 812 UMUM BANTUAN SUBSIDI MAKANAN UNTUK B40

https://www.malakattribunenews.com/2020/08/malakat-grocer-812-umum-bantuan-subsidi-makanan-untuk-b40/