Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MALAKAT MALL AJAK SYARIKAT KORPORAT KOLABORASI MENYUMBANG DALAM PROJEK ZERO HUNGER – MALAKAT TRIBUNE – 21/05/2020
22 May 2020

CYBERJAYA – Malakat Mall mengajak syarikat-syarikat korporat untuk kolaborasi dan turut sama menyumbang dalam Projek Zero Hunger bagi menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pengasas Malakat Mall dan Projek Zero Hunger, Mohd Fadzil Hashim berkata, projek kebajikan itu diasaskan oleh pusat beli belah tersebut bersama Yayasan Brainy Bunch.

Beliau berkata, menerusi sumbangan daripada pihak korporat, pihaknya yakin sumbangan secara berterusan dapat diberikan kepada golongan berkenaan.

“Golongan-golongan yang terjejas khususnya daripada golongan B40 memerlukan bantuan secara berterusan untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ada segelintir mereka tercicir daripada menerima bantuanyang diberikan oleh kerajaan malah kebanyakan mereka menggunakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk membayar sewa rumah.

“Justeru bantuan berupa barangan asas makanan amat diperlukan dan sangat membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima cek sumbangan berjumlah RM1 juta daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mohd Fadzil berkata, Projek Zero Hunger merupakan antara projek terawal yang diwujudkan sejak pelaksanaan PKP fasa satu dan telah berjaya mengagih bantuan kepada lebih 20,000 keluarga di seluruh negara.

“Kita bekerjasama rapat dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang membolehkan agihan dibuat kepada semua golongan memerlukan di serata pelosok negeri,” katanya.

Sementara itu Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang menyerahkan sumbangan tersebut menjelaskan, wang tersebut hasil sumbangan terkumpul oleh orang ramai untuk diinfakkan kepada yang memerlukan.

“Alhamdulillah apa yang dihulurkan hari ini adalah hasil kutipan bantuan oleh PPIM untuk disalurkan kepada projek Zero Hunger.

Terdapat sebanyak 100,000 keluarga lagi perlu dibantu. Platform bersedekah sentiasa terbuka, teruskan menyumbang mengambil keberkatan bulan Ramadan,” katanya.

Sesiapa yang ingin menderma untuk Projek Zero Hunger boleh masuk ke Sadaqah Market atau https://sadaqahmarket.com/. – MBNews

Artikel oleh: Malakat Tribune

MALAKAT MALL AJAK SYARIKAT KORPORAT KOLABORASI MENYUMBANG DALAM PROJEK ZERO HUNGER

http://www.malakattribunenews.com/berita/dalam-negeri/14369/