Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MALAKAT MALL, PPIM WUJUD JAWATANKUASA PANTAU SUMBER BEKALAN DAGING – ISMAWEB – 29/12/2020
30 Dec 2020

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi memantau rantaian pembekalan daging di negara ini.

Jawatankuasa yang diwujudkan oleh Malakat Mall dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu akan membabitkan beberapa lagi pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ulama.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, jawatankuasa itu akan beroperasi selama enam bulan untuk memantau sumber bekalan daging di Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, kami mahu memastikan sumber bekalan daging yang diperolehi dan yang ada di pasaran datang dari sumber yang tidak meragukan.

“Antara cadangan yang turut dibincangkan bersama PPIM adalah untuk melancarkan boikot terhadap makanan berasaskan daging selama enam bulan untuk menghenti dan memberi kesan kepada kartel-kartel daging tidak halal yang mengawal industri,” katanya dipetik Malakat Tribune hari ini.

Mohd Fadzil berkata, jika penubuhan jawatankuasa itu mencapai matlamat, tindakan seterusnya adalah untuk memastikan urusan pembekalan rantaian bekalan daging halal diserahkan kepada orang Islam.

“Saya amat bersetuju dengan PPIM yang menyarankan bahawa sijil halal tidak sepatutnya diberikan kepada orang bukan Islam sebab isu halal ini adalah soal keimanan.

“Sijil juga tidak sepatutnya diberikan hanya kepada orang Islam, tetapi orang Islam yang benar-benar beriman. Ia termasuk golongan penternak, pengedar, tukang sembelih dan sebagainya,” katanya.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Mengulas perkara itu, Mohd Fadzil menyifatkan ia bukan pendedahan mengejutkan kerana umat Islam di negara ini tidak mengambil berat mengenai status halal, malah hanya yakin sepenuhnya terhadap logo yang mudah ‘diciplak’.

“Dalam pertemuan saya dengan bekas pengimport daging, saya diberitahu mengenai kewujudan bekalan ekor kangaroo yang mengantikan ekor lembu.

“Kita sendiri tidak pernah bertanya dari mana datangnya bekalan ekor yang begitu banyak di kedai-kedai Siam seluruh negara,” katanya.

Artikel oleh: Ismaweb

MALAKAT MALL, PPIM WUJUD JAWATANKUASA PANTAU SUMBER BEKALAN DAGING

https://ismaweb.net/2020/12/29/malakat-mall-ppim-wujud-jawatankuasa-pantau-sumber-bekalan-daging/