Naib Presiden merangkap Pe­ngerusi Biro Hal Ehwal Agama Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah mendakwa, iklan yang disiarkan dalam ruangan Restaurant Openings itu jelas menyentuh sensitiviti umat Islam yang merupakan antara pelanggan utama syarikat tersebut.

“Apakah MAS yang meru­pa­kan syarikat milik penuh kera­jaan Malaysia tidak lagi mempunyai sumber-sumber lain untuk menjana pendapatan?

“Pihak MAS perlu prihatin dan peka dengan sensitiviti umat Islam, paparan gambar daging stik babi dalam iklan tersebut amatlah menggusarkan umat Islam. Apakah tiada lagi makanan lain yang boleh diiklankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, jelas Dr. Amini Amir, MAS perlu memin­ta maaf kepada umat Islam dan perlu memastikan perkara ter­sebut tidak lagi berulang.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Mala­ysia (PPIM), Datuk Nadzim Jo­han berkata, semua pihak khu­susnya rakyat Malaysia sendiri per­lu prihatin de­ngan keadaan persekitaran di ne­ga­ra ini termasuk akur dan meng­hormati bahawa Islam merupakan agama Persekutuan.

“Apa ertinya agama Islam sebagai agama Persekutuan jika tidak terlaksana, ia ada makna­nya supaya dihormati. Apa juga yang terjadi kita kena sensitif dengan perasaan orang lain, cukup penting untuk memahami antara sa­tu sama lain jika tidak akan timbul perselisihan.

“Sekiranya per­ka­ra sebegini dibiar berlarutan ten­tu­nya tidak akan mem­bawa kebaikan kepada negara kita, masing-masing perlu menasihati antara satu sama lain dan saling faham-memahami. Saya amat berha­rap supaya perkara sebegini tidak diulangi lagi,” katanya.

Presiden Ikatan Muslimin Ma­laysia (Isma), Aminuddin Yahaya juga berkata, pihak pe­ngurusan MAS wajar mengambil tindakan segera dan lebih sensitif pada masa hadapan supaya isu seperti itu tidak berulang.

“Sebagai sebuah syarikat pe­­­nerbangan nasional, isu-isu sen­­sitif seperti ini mesti di­singkirkan. Janganlah hanya meng­utamakan kepentingan penumpang-pe­num­pang ba­rat dan bukan Islam sahaja sedang­kan penumpang dari Ma­laysia yang beragama Islam lebih ramai.

“MAS wajar mengambil con­­­­toh beberapa syarikat pe­nerbangan dari negara-negara lain yang sentiasa mengutamakan budaya negara mereka, kita sahaja yang berlebih-lebih,” katanya.