Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MENGAPA BIARKAN TERLALU BANYAK TALIAN HARAM? – KENYATAAN AKHBAR PPIM – 04/11/2020
04 Nov 2020

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat terkejut apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia mendedahkan sebanyak 1,377,862 talian prabayar yang didaftar secara meragukan dalam tempoh Januari 2018 hingga Oktober 2020. 

Daripada jumlah itu sebanyak 920,207 talian itu sudah ditamatkan perkhidmatan manakala 457,645 lagi dikemas kini dengan maklumat yang sah. Ini bermakna dalam tempoh tersebut seluruh rakyat Malaysia telah terdedah dengan hampir sejuta talian yang meragukan dan boleh menjadi penyebab ke atas gejala-gejala scamming yang heboh baru-baru ini. Talian-talian seperti ini jelas digunakan untuk tujuan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat dan merosakkan masyarakat. 

PPIM menggesa agar pihak berkaitan memberi penjelasan sepenuhnya mengapa setelah hampir sejuta talian yang meragukan didaftarkan, tiada tindakan susulan atau perancangan untuk mengawal keadaan ini dilaksanakan? 

Pihak berkuasa khususnya SKMM seharusnya boleh membuat jangkaan akan kemungkinankemungkinan yang boleh berlaku dalam era teknologi maklumat sekarang. SKMM seharusnya mempunyai jaringan kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam menangani isu-isu utama yang boleh menjejaskan kualiti hidup pengguna. 

Kami menyeru agar SKMM menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merancang dan memperhalusi tindakan-tindakan mereka untuk membendung perkara yang kurang sihat ini. PPIM juga menggesa pihak berkuasa mengesan dan menahan pelaku-pelaku jenayah ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan termasuk pihak-pihak Telco yang menyediakan kemudahan-kemudahan talian ini.