Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MUALAF JADI MANGSA ‘KALDAI AKAUN’ – MALAYSIA GAZETTE – 12/07/2019
12 Jul 2019

KUALA LUMPUR – Seorang mualaf berstatus ibu tunggal menjadi mangsa terbaru sindiket ‘kaldai akaun’ apabila dia dianiaya rakan sendiri.

Wanita berusia 51 tahun dan mempunyai tiga orang anak berumur lingkungan 13 hingga 26 tahun itu kini terpaksa meringkuk di dalam penjara di Pulau Pinang selama tiga bulan.

Semua itu terjadi apabila wanita berkenaan dituduh bersubahat dengan lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket menggunakan akaun bank milik orang lain untuk mendapatkan keuntungan tanpa disedari pemilik akaun sebenar.

Ketua Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Mazlina Abu Bakar yang mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mendapat panggilan dari mangsa yang dikenali sebagai Nor Hidayah Lee Abdullah selepas dia beberapa hari di dalam penjara berkenaan.

Katanya, mangsa mendapat nombor telefon menerusi Hotline Biro Pembangunan Sosial melalui seorang pegawai di penjara yang memberitahu, PPIM pernah membantu seorang mangsa yang menerima nasib sama sepertinya.

“Lebih kurang 9 malam Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada seorang wanita dalam keadaan ketakutan dan bimbang dengan nasibnya yang menjadi mangsa keldai akaun.

“Mangsa memaklumkan sudah berada di dalam penjara selama tiga hari setelah dia didenda RM1,000 susulan mengaku bersalah tanpa memahami akibatnya dan kerana tidak mampu membayar denda, dia dipenjarakan tiga bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Norhidayah yang mempunyai tiga orang anak dan menetap di Johor telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis ketika siasatan dijalankan.

“Namun, apa yang kami kesalkan Nor Hidayah didakwa di dalam kes ini yang mana kami percaya dia merupakan mangsa keadaan,” ujarnya.

Menurut Dr. Mazlina, masalah Nor Hidayah berpunca daripada kedaifannya dan terdesak untuk membuat pinjaman bagi membayar yuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah anaknya yang tertunggak sejak awal tahun berjumlah RM200.

Katanya, disebabkan buntu dengan perkara itu wanita tersebut telah membuat pinjaman daripada seorang lelaki berbangsa Cina yang juga rakannya dengan diminta supaya menyerahkan kad pengeluaran wang (ATM) sebagai cagaran.

Bagaimanapun katanya, setelah membuat bayaran balik, mangsa telah membuat pembatalan kad ATM berkenaan dan dia kemudiannya membuat sekeping kad baru dan dimaklumkan oleh pihak bank ada transaksi yang meragukan.

“Oleh kerana pada waktu dia membuat pembatalan kad lama untuk menukar kad ATM baru, tiada wang didalam akaunnya maka Norhidayah tidak membuat apa-apa tindakan susulan kerana menyangka perkara itu selesai,” jelas Mazlina.

Namun katanya lagi, mangsa pihak ketiga yang telah diperdaya sindiket telah memasukkan wang ke dalam akaun Norhidayah dan kemudian membuat laporan polis menyebabkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menahan Norhidayah.

Mazlina menambah, kejadian seperti itu semakin kerap berlaku dan ia dilihat membimbangkan kerana modus operandi yang digunakan jelas mahu mengambil kesempatan terhadap kelemahan individu khususnya mereka yang berada dalam keadaan terdesak.

Justeru, PPIM menasihatkan pengguna dan orang ramai agar tidak mendedahkan sebarang maklumat berhubung dokumen bank kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

MUALAF JADI MANGSA ‘KALDAI AKAUN’

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/12/mualaf-jadi-mangsa-kaldai-akaun/