Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
“MUSTAHIL CAJ TAMBAHAN GUNTING RAMBUT SEHINGGA RM10” – BERITA HARIAN – 07/06/2020
09 Jun 2020

KUALA LUMPUR: Gabungan Pendandan Rambut Malaysia perlu memberi justifikasi terhadap kenaikan caj perkhidmatan itu yang dikenakan ke atas setiap pelanggan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, berkata ia bagi mengelak cubaan untuk mengambil kesempatan dalam kalangan pengusaha perkhidmatan itu.

Tambahan, katanya, tindakan itu wajar dilakukan bagi memastikan pengguna tidak terus terbeban, khususnya sepanjang penularan COVID-19.

“Pengusaha perkhidmatan ini perlu beri justifasi berdasarkan pertambahan kos operasi mereka berdasarkan kelengkapan digunakan kepada pelanggan.

“Mustahil untuk mengenakan caj sehingga RM10 jika mereka hanya menggunakan apron dan sarung tangan pakai buang yang dijual pada harga tidak menjangkau kadar kenaikan terbabit.

“Kita tidak mahu amalan ambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ‘hidup lebih segar’ dalam keadaan kita sedang berdepan wabak COVID-19,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, caj gunting dan dandanan rambut dilapor akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan susulan peningkatan kos operasi pematuhan prosedur operasi standard terhadap perkhidmatan itu.

Caj itu dipersetujui tujuh persatuan gunting rambut yang menyertai gabungan berkenaan pada mesyuarat diadakan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj, berkata kenaikan caj seharusnya pada kadar berpatutan bagi mendapatkan pulangan setimpal.

Selain itu, pihaknya menyuarakan kesediaan untuk memantau sebarang kes berkaitan peningkatan caj perkhidmatan itu, sekiranya menerima sebarang aduan mengenainya.

“Kita akan menyiasat jika terdapat sebarang aduan untuk meneliti sama ada kenaikan adalah munasabah atau hanya untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna.

“Seterusnya kita akan salurkan perkara ini kepada pihak kerajaan supaya tindakan sewajarnya boleh dikenakan ke atas mana-mana pengusaha tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

“MUSTAHIL CAJ TAMBAHAN GUNTING RAMBUT SEHINGGA RM10”

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/697408/mustahil-caj-tambahan-gunting-rambut-sehingga-rm10