Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NAIK TARAF SERVER PDRM – UTUSAN MALAYSIA – 13/12/2021
13 Dec 2021

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera menambah baik keupa­yaan server atau pelayan laman web Polis Di­raja Malaysia (PDRM) agar sesuai dengan negara yang menuju ke arah pendigitalan bagi meningkatkan prestasi perkhidmatannya kepada rakyat.

Kelemahan server agensi penguat kuasa itu terserlah ketika PDRM menyertai promosi diskaun saman trafik sehingga 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada 9 hingga 12 Disember.

Apa yang berlaku dalam tempoh empat hari itu mencetuskan kelam-kabut dan persoalan kepada orang ramai yang kecewa apabila tawaran diuar-uarkan tidak boleh dinikmati akibat kelemahan sistem dalam PDRM.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Ketua Seksyen Kese­lamatan Siber dan Bahagian Penumpuan Teknologi Institut Teknologi Maklumat Universiti Kuala Lumpur, Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, daripada masalah yang berlaku itu, kerajaan perlu segera mengambil iktibar dengan menaik taraf sistem dan server PDRM.

Menurut beliau, kelemahan tersebut jika tidak diatasi akan menjadikan agensi penguat kuasa itu terus dipandang ‘lemah’ oleh masyarakat dan kesannya kepada PDRM sendiri.

“Server yang bakal dinaik taraf tersebut perlulah ber­­­­­­­-p­restasi tinggi bagi menge­lakkan apa-apa lagi rungutan pada waktu puncak atau tempoh promosi,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Katanya, difahamkan PDRM kini hanya mempunyai dua server tetapi dalam masa sama perlu ‘melayan’ jumlah pelanggan yang ramai kerana masing-masing ingin menikmati diskaun 80 peratus.

“Kapisiti dua server tersebut tidak boleh melayan pelanggan yang ramai dalam satu-satu masa dan apa yang berlaku menyebabkan ia tidak boleh meneruskan tugasnya.

“Kesan kelemahan sistem menyebabkan PDRM dimarahi orang ramai,” katanya.

Selain itu, menurut Shafiza, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan server dimiliki PDRM tidak membuat pengimbangan beban berbanding platform atas talian lain yang sudah dinilai terlebih dahulu sehingga bersedia menerima pelanggan yang ramai.

Katanya, ini kerana platfrom atas talian yang kebanyakannya menawarkan diskaun pada setiap bulan umumnya mengetahui akan berlaku trafik tinggi pada masa-masa tersebut.

“Jadi kebanyakan infrastruktur platform atas talian ini biasanya ada banyak server dan setiap satu ditetapkan untuk pengimbangan beban jadi risiko masalah henti tugas di laman sesawang itu tidak berlaku.

“Contohnya, jika pengumpulan maklumat berkaitan platform atas talian lain, kita akan lihat mereka ada beberapa server dan sebab itu keupayaannya lebih berbanding PDRM,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan dalam menaik taraf PDRM yang menjadi tulang belakang keselamatan negara.
Menurut beliau, kelemahan seperti melayan pelanggan yang mahu membayar saman seperti yang berlaku tidak sepatutnya berlaku dalam perkhidmatan kerajaan.

“Pengalaman orang ramai itu sudah tentu mereka berasa PDRM macam main-main walaupun polis memberi alternatif,” kata beliau.

Oleh itu, Johan berkata, pendigitalan dalam PDRM harus dikemas kini supaya ia sistematik dan tidak menimbulkan rungutan.

Terdahulu, ramai netizen meluahkan kecewa dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus susulan ramai tidak berjaya mengakses laman web dibekalkan polis.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada sidang akhbar semalam mengumumkan tempoh pembayaran saman dengan diskaun sehingga 80 peratus dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

NAIK TARAF SERVER PDRM

https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2021/12/naik-taraf-server-pdrm/