Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NGO ISLAM DESAK RTM TANGGUH PENAYANGAN DEMI TUHAN AKU BERSAKSI – MALAYSIA GAZETTE – 05/08/2019
07 Aug 2019

KUALA LUMPUR – Jawatan Bertindak NGO Pendidikan Islam meminta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menangguhkan penayangan telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ sehingga kata sepakat dengan pihak berkepentingan diperolehi.

Jurucakapnya, Manolito Mohd Dahlan berkata, jawatankuasa bertindak itu yang dianggotai lima pertubuhan dan persatuan tahfiz al-Quran prihatin dengan keresahan masyarakat Islam berhubung penerbitan telemovie berkenaan.

Katanya, lima NGO itu ialah Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institusi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah Ummah Malaysia (Pengasuh) dan Pertubuhan Ayahanda Penyatuan Insan Malaysia (Papim).

“Kami sangat prihatin dengan keresahan masyarakat Islam terutama pencinta pendidikan tahfiz al-Quran berhubung penerbitan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi yang dijangka disiarkan RTM tidak lama lagi.

“Keresahan masyarakat terhadap telemovie ini mula timbul apabila poster iklan dan sinopsisnya mula diviralkan kepada umum sehingga mengundang pelbagai persepsi dan tanggapan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, satu petisyen dilancarkan atas nama “Haramkan Telefilem Sampah Memburukkan Institusi Tahfiz”.

Petisyen itu diwujudkan satu kumpulan yang dinamakan “Pembela Agama Allah” yang kini sudah mencecah lebih 50,000 tandatangan sebagai langkah untuk mengharamkan drama terbita Prokuya Studios itu.

Rata-rata petisyen itu menggesa masyarakat Islam menolak drama berkenaan.

Menurut Manolito yang juga Presiden Permata, keresahan dan kebimbangan masyarakat umum ada asasnya memandangkan kebelakangan ini terdapat kecenderungan kalangan tertentu memburukkan institusi Islam dan agama Islam amnya.

Kemudian ujar beliau, selepas memburukkan institusi dan agama Islam, pihak terbabit mengambil jalan mudah meminta maaf, sedangkan perbuatan itu telah menyebarkan kebencian dan menyemarakkan kemarahan kaum dan agama tertentu.

“Sebelum nasi menjadi bubur, kami mendesak pihak penerbit telemovie berkenaan dan pihak berkuasa penyiaran seperti RTM tampil menjawab keresahan masyarakat.

“Kami minta satu sesi pratonton diadakan kepada pihak berkepentingan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jakim dan NGO Islam seperti kami sebelum telemovie tersebut disiarkan kepada umum.

“Kami juga menyeru mana-mana pihak yang menerbitkan karya seni atas nama Islam untuk siaran dan tatapan umum terlebih dahulu merujuk kepada ahli agama dan institusi berotoriti agar tidak mendatangkan keresahan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kesucian Islam yang juga merupakan agama persekutuan perlu dijaga kukuh dengan sebarang unsur yang boleh menjejaskan kesucian Islam dan nilai-nilainya perlu ditegah.

Katanya, telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi mungkin mempunyai niat dan misi yang baik, tetapi tidak mencukupi jika jalan cerita, pemaparan watak dan elemen yang terkandung dalam filem itu melanggar batas dibenarkan oleh hukum syarak dan bersifat menghina agama serta nilai masyarakat.

“Sesuai dengan semangat musyawarah dan tabayyun yang dituntut Islam, besarlah harapan kami jika pihak penerbit dan RTM segera membuka pintu rundingan dan muzakarah untuk kepentingan umat Islam di negara ini.

“Jika perlu, penayangan telemovie yang telah membuka medan perdebatan hangat ini perlu ditangguhkan sehingga kata sepakat dengan pihak berkepentingan diperolehi,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

NGO ISLAM DESAK RTM TANGGUH PENAYANGAN DEMI TUHAN AKU BERSAKSI

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/05/ngo-islam-desak-rtm-tangguh-penayangan-demi-tuhan-aku-bersaksi/