Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NGO MOHON SULTAN CAMPUR TANGAN HALANG PESTA ARAK,GAY – BERITA HARIAN – 23/9/2017
23 Sep 2017

SHAH ALAM: Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Istana Bukit Kayangan, di sini untuk menyerahkan memorandum bantahan penganjuran pesta arak dan gay di negeri ini.

Wakil mereka, Nazilah Idris, berkata memorandum itu bagi memohon Sultan Selangor memberi amaran keras kepada penganjur agar tidak sesekali menganjurkan acara sedemikian di negeri ini.

“Kami khuatir pesta arak dan gay akan berpindah ke sini (Selangor) selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran di ibu negara.

“Rakyat Selangor memohon Tuanku untuk mengharamkan pesta ini dianjurkan kerana ia sama sekali menghina agama Islam serta mencemarkan kedaulatan negeri ini.

“Tuanku adalah ketua agama Islam di Selangor dan kami rakyat Selangor khuatir mungkin ada agenda tersembunyi di sebalik penganjuran pesta ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Antara NGO itu ialah Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Biro Aduan Masyarakat Selangor (BAMS),  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Gabungan NGO 1Malaysia, Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan), Gerakan Team Boss 38, Alif Ba Ta Srikandi Mahsyur dan Gerakan Biru Bersatu ABATA.

Terdahulu, Nazilah menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Istana Selangor, Pengiring Rapat Sultan Selangor, Sarjan Mejar Aznan Din.

Sementara itu, kira-kira 100 orang berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini selepas selesai solat Jumaat.

Mereka melahirkan rasa tidak puas hati serta meminta umat Islam membantah pesta arak dan gay diadakan di negeri ini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijadualkan pada 6 Oktober ini.

Selain itu, pesta gay dikenali sebagai ‘White Party’ turut dicanang akan diadakan di ibu negara pada 30 September ini.

Snapshot

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/328928/pesta-arak-ngo-mohon-sultan-campur-tangan-halang-penganjuran