Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘ORANG MELAYU PECAH-BELAHKAN MELAYU’ – BERITA HARIAN – 16/02/2021
16 Feb 2021

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa orang Melayu mengabaikan cubaan pihak tertentu memecahbelahkan perpaduan termasuk dilakukan kaum itu sendiri.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, menzahirkan rasa kesal dan sedih apabila perpecahan orang Melayu dilakukan oleh kaum itu sendiri, khususnya dalam arena politik negara.

Katanya, orang Melayu seolah-olah sudah hilang rasa malu apabila selesa bergaduh sesama sendiri secara terbuka, selain bersikap mementingkan diri tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada perpecahan itu.

“Perkara ini amat memalukan kerana yang mahu memecahbelahkan kaum Melayu adalah orang Melayu itu sendiri.

“Adakah kita mahu orang Melayu di sini menerima nasib yang sama seperti kaum Melayu Champa atau etnik Rohingya yang kini mengemis di negara sendiri?

“Melihat perkembangan terkini terutama dalam dunia politik negara, saya bimbang dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan kaum Melayu masa kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzim berkata, ahli politik Melayu perlu belajar daripada DAP dan MCA yang tidak memecahbelahkan kaum Cina di negara ini, walaupun tidak sependapat dalam arena politik.

Sekiranya perpecahan itu berterusan, beliau khuatir untuk jangka panjang apabila kehilangan ketuanan Melayu dan nasib kaum akan berakhir dengan tragedi.

“Kita pilih nak lemah atau nak kuat dan dihormati. Jika kita bersatu, kita dihormati dan jika kita berpecah, kita akan lemah dan dihina.

“Buatlah pilihan bijak dan perlu buang kesombongan serta sanggup berkorban seperti bangsa lain yang berjaya,” katanya, yang menyeru orang Melayu menguatkan perpaduan sesama mereka.

Artikel oleh: Berita Harian

‘ORANG MELAYU PECAH-BELAHKAN MELAYU’

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786810/orang-melayu-pecah-belahkan-melayu