Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PANDUAN TUNTUTAN AKIBAT VAKSINASI AKAN DIUMUM ISNIN – UTUSAN MALAYSIA – 15/04/2021
17 Apr 2021

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengumumkan garis panduan permohonan tuntutan waris mangsa kematian akibat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau sendiri akan menjelaskan mengenai perkara itu ekoran timbul kebimbangan kononnya tiada pampasan jika mangsa meninggal dunia.

“Insya-Allah, pada Isnin minggu depan saya akan mengumumkannya sendiri agar waris yang terlibat lebih tahu prosedur lengkap sekiranya berlaku insiden tidak diingini tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response To Covid-19 Pandemic: Perspective From The Field’ di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan keluhan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berhubung ketiadaan kaedah untuk waris mangsa yang sehingga kini dakwanya, Kementerian Kesihatan masih belum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) terperinci kepada mereka yang mahu membuat tuntutan pampasan.

Adham berkata, untuk mereka yang terkesan teruk akibat Covid-19 termasuk kes kematian, ia di bawah peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Badan ini ada peruntukan khas yang disediakan oleh kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika punca pesakit disahkan maut disebabkan pandemik itu sendiri,” tegasnya.

Untuk itu beliau meminta waris pesakit agar tampil berunding dengan Nadma bagi mendapatkan penjelasan dan memohon pampasan selain melampirkan dokumen sokongan.

Menyentuh isu petugas kementerian itu mula dihantar ke Sarawak ekoran situasi serius Covid-19 di negeri tersebut, beliau memberi jaminan bilangan staf cukup di seluruh negara.

Katanya, ini termasuk keperluan petugas kesihatan yang akan mengikut rombongan bakal haji Malaysia ke Tanah Suci pada bulan depan setelah kuota rasmi dimaklumkan kerajaan Arab Saudi.

“Mereka yang diberikan peluang bertugas ke sana, akan divaksin lengkap dua dos dan ketika ini saya yakin kesemua petugas sudah selesai menjalani PICK dalam fasa pertama,” katanya.

Adham dalam tinjauannya di Kuching mengumumkan penghantaran sejumlah 1,436 petugas kementerian dari seluruh negara ke negeri tersebut yang kritikal pandemik Covid-19.

Kumpulan pertama yang berjumlah 430 orang akan dihantar pada 21 April depan dan mereka dijangka tiba secara berperingkat ekoran perlu melalui ujian calitan dan kuarantin wajib di sana.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PANDUAN TUNTUTAN AKIBAT VAKSINASI AKAN DIUMUM ISNIN

https://www.utusan.com.my/berita/2021/04/panduan-tuntutan-akibat-vaksinasi-akan-diumum-isnin/