Timbalan Ketua Polis Nega­ra, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau akan mem­­pengerusikan mesyuarat ter­sebut yang turut disertai oleh satu pasukan khas daripada Ja­batan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Kajang serta Pegawai Penyiasat.

Jelasnya, dalam mesyuarat itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan selain meneliti se­tiap laporan yang diterima pihak polis.

“Difahamkan lebih 50 laporan telah diterima, jadi kita per­lu meneliti secara terperinci se­tiap kes berkenaan seperti perjanjian antara penyewa dengan syarikat berkenaan.

“Jika ada bukti atau kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang, tindakan akan diambil. Kita minta berilah ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia-Thailand Mengenai Ak­­tiviti Jenayah Ke-24 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi), Datuk Huzir Mohamed; Timbalan Ketua Polis Negara Polis Diraja Thailand, Jeneral Sutep Dechrugsa dan Ketua Bahagian Perhubungan Luarnya, Mejar Jeneral Apichat Suribooonya.

Mesyuarat tiga hari bermula kelmarin antara pasukan polis dua negara itu telah membincangkan pelbagai isu membabitkan keselamatan dan jenayah rentas sempadan.

Mengulas lanjut berhubung kes syarikat pajakan kenderaan itu, Noor Rashid menyeru kepada individu yang menjadi mang­sa dalam kes tersebut untuk membuat laporan polis secepat mungkin.

Katanya, usaha itu bertujuan bagi memudahkan pihaknya menjalankan siasatan sebelum tindakan tegas diambil.

Sebelum ini, Persatuan Peng­guna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya ‘Datuk Kabi’ berikutan tiada tindakan diambil terhadap lelaki terbabit meskipun didakwa terlibat dengan kes peni­puan syarikat pajakan kenderaan di Kajang.

PPIM mendakwa terdapat 1,000 laporan dan 500 individu yang telah ditipu oleh sebuah syarikat perniagaan pajakan kenderaan yang dimiliki individu tersebut.

Snapshot