Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEMANDU TEKSI LIMO LTAPP TERPAKSA TUKAR KERJAYA – HARIAN METRO – 28/08/2021
30 Aug 2021

Bayan Lepas: Sebahagian daripada 300 pemandu teksi limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, berdepan dengan situasi kenderaan mereka ditarik balik kerana gagal melunaskan bayaran ansuran bulan.

Ia berikutan golongan itu yang tidak mampu membayar sewa kenderaan kerana tidak dapat meraih pendapatan dan kehilangan pelanggan sejak pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pemandu Limo dan Teksi LTAPP Hafizi Ahmad berkata, kebanyakan mereka kini terpaksa tukar kerjaya demi kelangsungan hidup.

Katanya, kebanyakan golongan itu terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan, pengawal keselamatan serta pemandu lori selepas operasi LTAPP terjejas sekali gus menyebabkan mereka tidak mempunyai pelanggan.

“Kini sebulan pun belum tentu ada pendapatan daripada hasil teksi limosin berbanding sebelum ini yang mana setiap ahli mampu meraih pendapatan anggaran RM200 sehari.

“Adakalanya hanya dapat seorang atau dua penumpang sebulan malah ada pemandu yang langsung tidak dapat pelanggan pada bulan tertentu, ” katanya kepada media di sini, semalam

Mengulas lanjut Hafizi berkata, dia kini turut melakukan kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam bagi mencari pendapatan tambahan.

Katanya, dia berharap wakil daripada Kementerian Pengangkutan dapat turun padang bersemuka dan berbincang bagi mengatasi masalah yang membelenggu mereka.

“Orang tak nampak keperitan yang dialami oleh pemandu teksi limosin, mujurlah pengumuman moratorium kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban.

“Kami mengalu-alukan sumbangan agensi kerajaan serta orang ramai kepada ahli persatuan namun tetap meminta kerajaan memberi perhatian kepada mereka yang terjejas teruk.

“Orang bagi (bantuan) kami terima dan agihkan kepada ahli yang betul-betul memerlukan tetapi dalam masa sama, sampai bila bantuan akan disumbangkan jadi kami mahu ada satu jalan penyelesaian supaya isu ini dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Angkatan Pertahanan Awam menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pemandu limosin dan teksi LTAPP.

Sementara itu, Ketua Cawangan Sumber Manusia Ibu Pejabat Perkeso Mohd Razmi Khalid berkata, sumbangan barangan makanan bernilai RM100 itu adalah inisiatif agensi berkenaan dalam meringankan beban kumpulan penggiat dalam sektor pelancongan sempena Jelajah Prihatin Jubli Emas Perkeso.

“Pulau Pinang adalah negeri kedua yang disinggahi konvoi Perkeso itu selepas menghulurkan 200 bakul makanan kepada pemandu limosin dan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Julai lalu.

“Secara keseluruhan sebanyak 900 bakul makanan akan diagihkan khususnya kepada pemandu limosin, teksi yang mencarum dengan Perkeso berikutan terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PEMANDU TEKSI LIMO LTAPP TERPAKSA TUKAR KERJAYA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/747908/pemandu-teksi-limo-ltapp-terpaksa-tukar-kerjaya