Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pemberian AP gula kepada golongan yang tidak terlibat dalam industri tersebut menyebabkan pengimport gula mengeluarkan kos tambahan untuk menyewa permit berkenaan daripada pihak ketiga yang langsung tidak menjalankan perniagaan berkenaan gula.

“Ada AP yang diberikan kepada golongan yang tidak menjalankan perniagaan gula dan mereka ini hanya mengambil untung dengan menyewakan permit berkenaan kepada syarikat-syarikat lain.

“Sekiranya kerajaan memberi AP gula secara terus kepada pengimport gula yang benar-benar melakukan perniagaan dalam industri tersebut, harga gula dapat dijual dengan lebih murah,” katanya dalam sidang akhbar AP Gula Membebankan Rakyat di Kondominium Villa Puteri di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE