Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEMINJAM ALONG MAKIN MENINGKAT MENJELANG RAMADHAN – PPIM – MALAYSIA POST – 13/04/2021
17 Apr 2021

TREND meminjam dengan ceti haram atau along semakin meningkat menjelang Ramadan dan Syawal berikutan ramai hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata situasi sebenarnya adalah ramai yang terpaksa meminjam along sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jumlah peminjam yang gagal melunaskan hutang dengan along juga ramai, kena faham mereka nak bayar macam mana jika wang pun tiada,” katanya kepada Malaysiapost.

Nadzim berkata, masyarakat khususnya umat Islam perlu berbalik semula kepada sebuah hadis yang menyatakan ‘sembilan daripada 10 punca rezeki berasal daripada perniagaan’.

Justeru, katanya, umat Islam wajar gunakan peluang Ramadan ini untuk mengorak langkah menceburi bidang perniagaan demi menjana sumber pendapatan.

“Jadi gunakan peluang ini untuk berniaga. Jika kita yakin dengan rezeki kurniaan Allah maka sentiasa ada jalan untuk kita semua mengubah nasib.

“Orang yang berniaga pula, lakukan dengan terbaik. Berniaga dalam cara bersih, halal dan tidak menipu. Kita ikut ajaran Islam dalam berniaga, jangan cuba rugikan pihak lain,” ujarnya.

Menurut Nadzim, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan dengan memudahcara pemberian lesen perniagaan kepada orang ramai yang membuat permohonan.

Beliau memohon agar PBT memudahkan urusan peniaga kerana dijangka ramai yang akan mengambil kesempatan untuk berniaga sepanjang Ramadan ini.

“Dua itu sahaja cara. Kita buat dua itu Insya-Allah boleh bantu mereka yang tersepit sejak PKP lalu. Semua ambillah peluang pada bulan yang mulia ini, dan beri peluang juga pada mereka,” kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan ceti haram atau along menjadi jalan tumpuan orang ramai terutama yang terjejas sumber pendapatan ketika pandemik Covid-19.

Biarpun mengenakan faedah sehingga 40 peratus, orang ramai terpaksa memilih untuk menjerat diri sendiri meminjam dengan along demi kelangsungan hidup.

Berdasarkan beberapa pengakuan pemberi pinjaman itu, mereka mengakui tidak menang tangan memproses pinjaman orang ramai dengan purata 3,000 permohonan setiap minggu.

Ia menjadikan jumlah peminjam meningkat 15 kali ganda berbanding sebelum PKP dilaksanakan.

Artikel oleh: Malaysia Post

PEMINJAM ALONG MAKIN MENINGKAT MENJELANG RAMADHAN – PPIM

https://malaysiapost.com.my/2021/04/13/peminjam-along-makin-meningkat-menjelang-ramadan-ppim/