Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENCARUM KWSP SASARAN SYARIKAT PEMINJAM WANG – BERITA HARIAN – 03/08/2020
03 Aug 2020

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat peminjam wang dikesan menyasarkan pelanggan dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan mengeluarkan caruman penuh atau dari Akaun 2 dengan menawarkan pinjaman mudah lulus.

Menggunakan nama skim sebagai ‘pinjaman KWSP’, syarikat berkenaan menawarkan pinjaman bagi mereka yang akan mengeluarkan caruman penuh iaitu pada usia 54 dan 55 tahun serta pengeluaran Akaun 2 berusia 49 dan 50 tahun.

Kaedah itu seperti mendahulukan wang caruman kepada peminjam dan dibayar balik apabila caruman dikeluarkan, tetapi tidak dinyatakan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan.

Syarikat terbabit dikesan mengiklankan skim ‘pinjam dahulu, bayar kemudian’ pada laman sosial dengan pelbagai taktik bagi mengumpan pelanggan, antaranya menggunakan nama ala Arab, memaparkan gambar gadis bertudung dan logo KWSP.

Tinjauan di beberapa laman media sosial mendapati pelanggan ditawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan jaminan bayaran pinjaman penuh dan kadar faedah ‘berpatutan’.

Malah, ada yang mendakwa mereka adalah syarikat atau ejen pinjaman peribadi yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kaedah pinjaman sedemikian bercanggah daripada tujuan asal caruman KWSP dilakukan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. – Foto Mustaffa Kamal

Malah, katanya, FOMCA bimbang ia mendedahkan pencarum KWSP kepada bahaya lebih buruk kerana akan dibebani hutang yang tinggi susulan kadar faedah berlipat ganda, sementara menunggu caruman KWSP dibenarkan dikeluarkan pada usia tertentu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pula berkata tindakan syarikat peminjam wang berlesen menggunakan logo KWSP boleh mengelirukan peminjam dan orang ramai seolah-olah ia satu pengesahan untuk meraih kepercayaan peminjam baharu.

“Kaedah pinjaman menggunakan caruman KWSP ini juga bercanggah dengan falsafah simpanan dalam kumpulan wang simpanan itu iaitu untuk kegunaan hari tua atau mengurangkan pinjaman seperti perumahan pada usia 50 tahun,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Semakan BH mendapati, peminjam hanya perlu menyerahkan slip gaji bagi tempoh sebulan untuk mengenal pasti had pinjaman yang boleh dimohon, selain ada jaminan jika semua dokumen mencukupi, pinjaman akan dilulus dalam tempoh sejam hingga 24 jam, malah peminjam yang disenarai hitam juga boleh memohon.

Selain pencarum KWSP yang akan mengeluarkan simpanan dalam tempoh enam bulan, ia juga menawarkan pinjaman seperti biasa kepada penjawat awam, kakitangan swasta atau pesara.

Semakan di laman web mendapati mereka juga menggunakan logo Kredit Komuniti, dipercayai merujuk kepada Bahagian Kawalan Kredit Komuniti iaitu penjenamaan semula Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai di KPKT sejak 1 Jun 2019.

Untuk lebih meyakinkan peminjam, syarikat terbabit juga menyertakan beberapa gambar kaunter dan pejabat syarikat, selain video pendek mengenai operasi mereka.

FOMCA bimbang kesan serius selepas bersara

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) khuatir tindakan menarik golongan hampir bersara meminjam daripada syarikat kredit boleh menimbulkan kesan serius kepada mereka selepas bersara.

Malah, Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ia satu bentuk manipulasi kepada golongan berkenaan yang diketahui akan memiliki wang yang agak banyak dalam tempoh tertentu kerana mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, kaedah pinjaman sedemikian juga bercanggah daripada tujuan asal caruman KWSP dilakukan.

Katanya, situasi itu mendedahkan pencarum KWSP kepada bahaya lebih teruk kerana akan dibebani hutang tinggi susulan kadar faedah berlipat ganda, sementara menunggu caruman KWSP dibenar dikeluarkan pada usia tertentu.

“Rakyat khususnya pencarum KWSP yang hampir bersara perlu mempunyai pengurusan kredit yang baik bagi mendepani cabaran selepas berhenti kerja, termasuk isu berkaitan kesihatan.

“Tidak sepatutnya golongan pencarum yang hampir bersara ini dimanipulasi syarikat pinjaman wang berlesen dan perkara ini memerlukan penyelesaian segera,” katanya kepada BH.

Mohd Yusof berkata, pihaknya mengesyorkan penguatkuasaan syarikat pinjaman wang berlesen diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau Kementerian Kewangan, berbanding Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ini kerana, KPKT tidak mempunyai anggota penguat kuasa mencukupi untuk memantau aktiviti syarikat terbabit, sekali gus menyebabkan ketirisan dan kelemahan yang akhirnya merugikan rakyat.

“Syarikat peminjam wang berlesen perlu diletakkan di bawah mana-mana agensi yang mempunyai ramai penguat kuasa kerana aktiviti penguatkuasaan perlu dilakukan secara berkala dan kerap.

“Selain itu, Akta Kredit Pengguna perlu segera dibentang di Dewan Rakyat, sekali gus memberi ‘nafas baharu’ kepada peminjam yang tertindas oleh syarikat peminjam wang berlesen,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. – Foto Zulfadhli Zulkifli

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata tindakan syarikat peminjam wang menggunakan logo KWSP atau jabatan kerajaan juga boleh mengelirukan orang ramai.

Malah, beliau berkata, sekali pandang, ia juga seolah-olah menggambarkan ia adalah ‘endorsemen’ untuk meraih kepercayaan peminjam baharu.

Katanya, PPIM merekodkan antara 30 hingga 40 aduan berhubung pinjaman daripada syarikat pemberi pinjaman sehari.

“Jika ikut peruntukan sedia ada memang mereka tidak boleh guna logo atau mencari pelanggan, selain semua urusan transaksi perlu dilakukan di pejabat saja,” katanya.

Nadzim berkata, berdasarkan aduan orang ramai, pihaknya mendapati kebanyakan syarikat menetapkan kadar faedah melebihi 18 peratus.

“Ada kes peminjam hanya meminjam RM50,000 tetapi dia membayar balik dengan nilai RM1 juta dan syarikat terbabit masih menuntut hutang sebanyak RM1.3 juta yang perlu dilangsaikan.

“Masalah ini tidak dapat diselesaikan jika individu terbabit melaporkannya kepada pihak polis, melainkan wujud elemen ugutan atau jenayah lain. Ini kerana kes penipuan membabitkan pinjaman atau kadar faedah di luar bidang kuasa polis,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PENCARUM KWSP SASARAN SYARIKAT PEMINJAM WANG

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/717440/pencarum-kwsp-sasaran-syarikat-peminjam-wang