Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENCEMARAN GAS: PPIM KESAL KEJADIAN BERULANG – SINAR HARIAN – 21/06/2019
22 Jun 2019

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan bantahan terhadap pihak berkuasa ekoran insiden pencemaran gas yang melanda di Pasir Gudang semalam.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian kali ini kerana ia menunjukkan kerajaan tidak ambil serius kejadian sebelum ini.

“Bantahan kami terhadap pihak berwajib negeri dan Persekutuan kerana dianggap gagal dalam menjaga keselamatan pengguna khususnya penduduk Pasir Gudang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya turut mendesak kerajaan negeri dan Pusat memberi penjelasan bagaimana perkara pencemaran udara itu boleh berulang.

“Sampai bila penduduk harus hidup dalam keadaan begini, apa yang telah dilakukan oleh pihak berwajib dan bagaimana ia boleh berulang.

“Semua pihak berwajib bertanggungjawab atas apa yang berlaku kali ini, jika dahulu mereka menyalahkan kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab, kali ini di mana mereka?

“Mengapa tiada pemantauan berkala dan adakah mereka hanya menjadi bahan ketawa oleh pelaku-pelaku ini sehingga pencemaran berlaku di kawasan yang sama,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengadakan lebih pemantauan berkala bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Sejak kejadian pertama pada bulan Mac tahun ini, PPIM masih mendapat aduan terdapat mangsa yang masih mengalami komplikasi perubatan.

“Kini dengan kejadian kembali berulang, kami amat bimbang dengan tahap keselamatan penduduk di sana,” katanya.

Jelasnya, selain risiko masalah kesihatan jangka pendek, kejadian pencemaran gas beracun itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup penduduk dalam jangka masa panjang.

Terdahulu, kejadian yang merupakan kali kedua tahun ini dan melibatkan 15 pelajar sekolah termasuk lima yang dikejarkan ke hospital.

Mereka merupakan pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu.

Pelajar yang terlibat dilaporkan mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang semalam, dipercayai akibat pencemaran udara.

Sungai Kim Kim yang dicemari toksik pada 7 Mac lalu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan.

Artikel oleh: Sinar Harian

PENCEMARAN GAS: PPIM KESAL KEJADIAN BERULANG ARTIKEL PENUH – SINAR HARIAN – 21/06/2019

https://www.sinarharian.com.my/article/33690/BERITA/Nasional/Pencemaran-gas-PPIM-kesal-kejadian-berulang