Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENDAPAT PILIHAN-SURADI DARIUS : PENGAJARAN ATAU KEKEJAMAN?
22 Oct 2011

Suradi Darius, berusia 43 tahun telah diiystiharkan bankrap pada 2004 akibat kegagalan melangsaikan hutang pinjaman kereta. Seterusnya, Suradi telah diarahkan oleh Pejabat Insolvensi Malaysia untuk membayar ansuran bulanan berjumlah RM50-00 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang tersebut selari dengan Perintah mahkamah bertarikh 04/03/2005.
Isteri Suradi, iaitu Puan Rosnah Bte Mohd @ Sailan sebagai penjamin dalam pembelian kereta tersebut juga telah dibankrapkan atas perkara yang sama. Justeru, Suradi Darius terpaksa menanggung hutang isterinya dan membayar RM50-00 sebulan bagi pihak isterinya. Jumlah keseluruhan bulanan ialah berjumlah RM100-00.
Berlanjutan dari kegagalan pembayaran ansuran tersebut, Pejabat Insolvensi Malaysia  telah menfailkan Permohonan Komittal (Committal Proceeding) di bawah Seksyen 91(2) Akta Kebankrapan 1967 terhadap Suradi Darius. Suradi Darius telah dihadapkan ke mahkamah pada 30/06/2011 yang lalu hanya setelah Waran Tangkap dikeluarkan oleh pihak Mahkamah di atas permohonan pihak Pejabat Insolvensi Malaysia. Suradi Darius telah menjelaskan kepada mahkamah bahawa beliau tidak pernah menerima apa-apa surat ataupun tindakan mahkamah sebelum ini. Adalah memprejudiskan pihak Suradi Darius jika dikatakan.
Pun begitu, Suradi Darius telah memberi kerjasama penuh dengan memastikan kehadirannya di hadapan mahkamah pada setiap kali tarikh bicara ditetapkan dan membayar semua tunggakkan beliau berjumlah RM3,450-00 yang dikira dari Oktober 2004 – Jun 2010. Walaupun begitu, ia tidak memadai bagi pihak Pejabat Insolvensi Malaysia dan meminta Suradi Darius membayar tunggakkan seterusnya iaitu sehingga ke bulan September 2011.
Suradi Darius tiada pilihan walaupun jelas ia memprejudiskan beliau kerana tempoh masa di antara 30/06/2011 – 27/09/2011 adalah singkat untuk beliau mencari wang bagi membayar kesemua jumlah  yang dituntut. Pun begitu, Suradi Darius tetap akur dan berusaha gigih mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh yang diberikan. Suradi Darius akhirnya berjaya membayar jumlah terhutang sehingga ke bulan Jun 2011, dan berbaki 3 (tiga) bulan berjumlah RM150-00 sahaja.
Walaupun usaha yang gigih dan kerjasama yang diberikan kepada Mahkamah dan terutamanya Pejabat Insolvensi Malaysia, Suradi Darius tetap dikomitkan ke penjara selama 1 (satu) bulan atas alasan telah melanggar Perintah mahkamah bertarikh 04/03/2005 dan sebagai pengajaran kepada semua pihak terutamanya para bankrap agar sentiasa mematuhi perintah mahkamah.
Suradi Darius melalui peguamcaranya TETUAN IMAM & ASSOCIATES telah memfailkan rayuan di atas hukuman tersebut dan pada 21/10/2011, Mahkamah telah membebaskan Suradi Darius di mana hukuman 1 (satu) bulan penjara adalah terlebih. Namun ia tidak menyebabkan Suradi Darius tidak layak dipenjarakan kerana ia adalah benar dan sah di sisi undang-undang yang digunapakai.
Suradi Darius adalah contoh menarik yang perlu mendapat perhatian semua pihak terutamanya Pejabat Insolvensi Malaysia dalam melaksanakan tugas masing-masing. Adalah perlu Pejabat Insolvensi Malaysia melihat setiap kes berdasarkan merit dan keadaan si bankrap sebelum satu tindakan yang patut dilaksanakan berdasarkan lunas undang-undang yang sedia ada. Ini kerana setiap kes adalah berbeza dan unik. Justeru itu, pertimbangan yang adil amat dituntut sebelum apa-apa tindakan dibuat.
Suradi Darius tidak mempertikaikan keputusan Mahkamah pada 27/09/2011 yang lalu kerana ia adalah jelas berlandaskan lunas undang-undang sedia ada. Namun, adalah keterlaluan dan tidak setimpal jika beliau dipenjarakan untuk tempoh 1 (satu) bulan hanya kerana gagal membayar baki berjumlah RM150-00? 
Di manakah pertimbangan pihak-pihak setelah segala usaha gigih beliau melunaskan hutang tertunggak? Adakah padan dan patut beliau dipenjarakan dengan alasan kepentingan awam dan sebagai pengajaran semata-mata?
Adakah  Pejabat Insolvensi Malaysia sudah melaksanakan tindakan lain sebelum mengambil tindakan akhir iaitu penjara? Adakah amaran terakhir telah diberikan kepada Suradi Darius? Mengapa Pejabat Insolvensi Malaysia tidak mengenakan denda sebagai alternatif? Apakah faedah jika Suradi Darius dipenjarakan sedangkan beliau akan dibuang kerja? Bagaimana pula untuk Suradi Darius membayar ansuran bulananya jika beliau tidak bekerja?
Suradi Darius seharusnya mendapat peluang terakhir untuk beliau mempelajari kesilapannya. Ini kerana beliau bukan pesalah ulangan (repeating offences) atau enggan terus menerus mengingkari Perintah mahkamah tersebut. Malah, hutang tersebut telah dibayar cuma masih berbaki RM150-00 sahaja.
Pejabat Insolvensi Malaysia sewajarnya melaksanakan penguatkuasaan yang lebih mantap dan efisien terlebih dahulu sebelum memenjarakan si bankrap. Dalam melaksanakan undang-undang yang ada, segala alternatif yang lain perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan pertimbangan yang sewajarnya perlu diambil kira termasuk taraf kehidupan, sosial dan kerjasama si bankrap.
Jika Suradi Darius menjalani hidup yang mewah dan terus enggan mematuhi perintah mahkamah dengan tidak membayar tunggakan seperti yang dipinta, ia adalah patut dan wajar sama sekali tindakkan memenjara dilaksanakan.
Kes Suradi Darius adalah yang pertama di Malaysia di mana tindakan memenjarakan si bankrap dilaksanakan sejajar dengan lunas undang-undang yang ada. Namun, persoalan yang jelas, adakah wajar dan patut beliau dipenjarakan untuk tempoh 1 (satu) bulan?
Ini penting untuk menjaga integriti dan kepentingan pihak Pejabat Insolvensi Malaysia supaya tidak dianggap sebuah jabatan kerajaan yang kejam dan tidak bertimbang rasa dalam pelaksanaan tanggungjawabnya. Janganlah menggunakan undang-undang sebagai medium untuk menghukum si bankrap tanpa memberi peluang si bankrap mempelajari kesilapannya atas alasan kepentingan awam semata-mata. Jangan sampai masyarakat tertipu dengan agenda RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN kerana sekarang ini jelas PENCAPAIAN JABATAN DIUTAMAKAN RAKYAT DIBELAKANGKAN.
Semoga kes Suradi Darius menjadi contoh yang menarik kepada semua pihak terutama Pejabat Insolvensi Malaysia dan para bankrap di luar sana. Perintah mahkamah perlu dipatuhi sepenuhnya demi menjaga integriti institusi kehakiman sentiasa dipandang mulia dan tinggi. Juga, para bankrap yang lain, jangan sehingga tindakan mahkamah diambil baru hendak membayar hutang masing-masing. Laksanakan tanggungjawab anda.
Sekian.

-Ber Nama-