Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENDEDAHAN BEKAS GENGSTER – BERITA HARIAN – 3/2/2017
03 Feb 2017

berita harian 3.2.2017

PENDEDAHAN BEKAS GENGSTER

KUALA LUMPUR: “Jangan sesekali terjebak dengan kegiatan kongsi gelap kerana sekali terbabit, anda tidak akan dapat melepaskan diri”. Itulah nasihat seorang bekas ahli kongsi gelap ketika menceritakan penderitaan sepanjang 17 tahun menjadi gengster.

Lelaki berusia 34 tahun yang pernah digelar sebagai ‘Kingpin’ mendakwa pernah tekad membunuh diri kerana tidak tahan dengan ancaman keselamatan bukan sahaja terhadap dirinya, malah keluarga.

Bagaimanapun, Kingpin bernasib baik kerana dinasihatkan seseorang supaya mendapat bantuan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada November tahun lalu.

Dia kini dalam dilema dan sentiasa bimbang kerana diburu kumpulan yang pernah disertainya supaya kembali kepada kegiatan lampau berkait dengan perlindungan jenayah, yang sudah ditinggalkannya.

Dera Mental, Fizikal

“Ketika menyertai beberapa kongsi gelap, saya juga pernah didera secara fizikal dan mental, terutama jika saya menolak sebarang tugasan yang diarahkan ketua.

“Sepanjang tempoh rekrut, badan saya dicacah pelbagai tatu dan menyertai ritual yang amat menyakitkan seperti mencucuk tapak tangan dengan pisau dan darahnya diminum sebagai bukti kesetiaan kepada kumpulan,” katanya yang pernah direkrut selama dua tahun di sebuah tokong Siam Danok, Thailand, selepas ditawarkan menyertai Geng 04 pada tahun 2000.

Bercakap kepada BH, dia berkata, kumpulan kongsi gelap berkenaan antara lain terbabit dalam pengedaran dadah, pelacuran, penyeludupan senjata api, curi kereta, pemerdagangan manusia dan perjudian membabitkan keuntungan puluhan juta ringgit setahun.

“Kumpulan kongsi 3821 adalah kumpulan terkuat dan mempunyai rangkaian gengster antarabangsa. Bagaimanapun kebanyakan kumpulan kongsi berselindung di sebalik perniagaan yang sah seperti pusat hiburan, malah wujud pembabitan golongan yang bergelar Datuk dalam kumpulan berkenaan,” katanya.

Kingpin berkata, hukuman penjara dua kali yang dijalaninya sehingga dia dibebaskan Julai tahun lalu, banyak memberi keinsafan kepada dirinya untuk berubah dan membantu pihak berkuasa membanteras jenayah.

Kegiatan Bersekongkong

“Bagaimanapun, niat mahu membantu membanteras jenayah kongsi gelap bukan mudah kerana kadang-kadang maklumat disampaikan kepada pihak yang salah, yang bersekongkol dengan kumpulan berkenaan.

“Saya difahamkan, keadaan sedemikian sudah lama diamalkan menyebabkan kegiatan kongsi gelap sukar dibendung,” katanya.

Kingpin pernah ditahan polis pada tahun 2004 namun dibebaskan beberapa bulan kemudian. Pada 2007 hingga 2016, dia sekali lagi dipenjarakan atas kesalahan terbabit dalam pergaduhan yang mendatangkan kecederaan.

Dia menceritakan pengalamannya yang terkandung dalam surat akuan bersumpah setebal lima muka surat yang dibuatnya pada 7 Disember tahun lalu, selepas mendapat nasihat peguam.

Kingpin menyedari rahsianya sebagai pemberi maklumat terdedah apabila seorang ahli sindiket datang ke rumah membawa sepucuk pistol, mengugut dan membaling dua telefon bimbit ke dinding.

Dia menyatakan kesediaannya mendedahkan semua maklumat dalam jawatankuasa khas bebas untuk tindakan lanjut serta menyatakan kesanggupannya untuk menjalani ujian poligraf.

Sementara itu, berkembang sebagai satu ‘profesyen bawah tanah’, Bukit Aman kini mengawasi pergerakan ahli kongsi gelap yang turut mengalami revolusi apabila mereka tidak lagi berkhidmat untuk satu kumpulan sahaja.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata ini berlaku apabila mereka sanggup bekerja dalam beberapa kumpulan lain yang menawarkan upah lebih tinggi.

Dengan kata lain, katanya, dalam setiap kongsi gelap ada pekerja tetap, pekerja kontrak dan pekerja bebas yang boleh berkhidmat tanpa terikat dengan perjanjian kumpulan.

“Mereka menawarkan pakej lengkap seperti menjaga kawasan tertentu, memberi maklumat jika ada kehadiran pihak berkuasa, memeras ugut atau mencederakan orang.

“Sebahagian besar kumpulan kongsi gelap memfokuskan kegiatan melindungi jenayah, pemerasan dan kekerasan tanpa berselindung di sebalik perniagaan sah seperti amalan berdekad tahun lalu,” katanya kepada BH Plus.

Rohaimi berkata, kegiatan kongsi gelap negara ini berkembang sebagai satu ‘profesyen bawah tanah’ dengan anggaran keahlian 20,000 orang dalam hierarki organisasi yang kukuh, terancang dan licik.

Katanya, jumlah itu termasuk ahli yang tidak aktif dalam 72 pertubuhan yang diisytiharkan sebagai pertubuhan kongsi gelap yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

Malah, katanya, kumpulan kongsi gelap memiliki sistem kerja yang tersusun iaitu kursus, latihan, protokol, perjawatan, kenaikan pangkat, penggajian, audit dan hukuman jika melanggari syarat.

Rohaimi berkata, banyak kepelbagaian yang dilakukan sebagai tanda pengenalan kumpulan iaitu tidak lagi bergantung kepada mencacah tatu di badan, mewujudkan isyarat tangan, pelekat atau kod tertentu.

Fakta nombor

Tindakan ke atas ahli kongsi gelap mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959:
2015: 109
2016: 147

72 – Jumlah kumpulan/pertubuhan yang diwartakan salah di sisi undang-undang.

Kes dan tangkapan membabitkan ahli geng (jenayah kekerasan):

2015
– Jumlah kes: 51
– Jumlah tangkapan: 242 orang